Monday, 17 March 2008

Emas bukan lagi keutamaan

Oleh Ahmad Khawari Isa

PUNCA: Prestasi merudum yang dipamer 'gandingan emas', Boon Heong (kiri) dan Kien Keat menyebabkan sasaran untuk menang emas pada Sukan Olimpik Beijing bertukar kepada 'tidak kira apa warna'.

Perjuangan kini merebut apa saja warna pingat di Sukan Olimpik Beijing

NADA keyakinan menggapai kilauan emas pada Sukan Olimpik di Beijing tidak kedengaran ketika matlamat selamat - 'apa sahaja warna pingat' jadi buruan kontinjen negara pada temasya itu, Ogos nanti.

Sasaran dianggap lebih realistik itu diputuskan Jawatankuasa Pemandu Sukan Olimpik dalam mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman, Januari lalu.

"Ianya diputuskan selepas mengambil kira prestasi terkini atlit negara dan mengambil kira prestasi atlit dunia lainnya.

"Sasaran itu bersifat dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan terkini," kata chef-de-mission negara, Datuk Ho Koh Chye selepas mesyuarat dengan wakil persatuan yang sudah melayakkan diri ke temasya itu, semalam.

Diajukan persoalan sama ada sasaran itu � berbeza dengan laungan misi menamatkan kemarau emas sebelumnya � dilihat sebagai langkah sengaja 'merendahkan harapan' supaya tekanan tidak terlalu berat dipikul atlit negara, Koh Chye pantas menafikannya.


"Kami akan berusaha memastikan atlit negara yang bertanding nanti mampu menghasilkan keputusan terbaik. Kita jangan lupa pada dua edisi Sukan Olimpik sebelumnya, kontinjen negara gagal memenangi sebarang pingat.

"Jadi sasaran apa sahaja warna pingat ketika ini dilihat sebagai paling sesuai. Saya ketika ini berpuas hati dengan persiapan latihan dan penyertaan atlit yang layak dan masih berpeluang layak ke Beijing.

"Saya percaya atlit negara akan mampu menghasilkan peningkatan sepanjang tempoh persiapan ini. Kita sasarkan sebarang warna pingat, dan emas sudah tentu jadi bonus," katanya.

Namun difahamkan, langkah untuk tidak memilih pingat emas sebagai sasaran itu lahir daripada kebimbangan melihatkan prestasi tidak menentu barisan pemain badminton negara, terutama harapan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Kombinasi yang mencuri tumpuan selepas memenangi emas Sukan Asia di Doha, dua tahun lalu, itu kini ibarat hilang sentuhan dan kerap kecundang pada peringkat awal saingan di pentas utama.

Setakat ini, 15 atlit negara sudahpun layak secara merit ke temasya itu - empat atlit terjun, tiga perenang, tiga pemanah, dua atlit taekwondo dan masing-masing satu daripada menembak, perahu layar dan olahraga.

Jumlah itu bakal bertambah sebaik sahaja barisan pemain badminton negara � dan beberapa pelumba basikal � mengesahkan tempat sebaik tempoh kelayakan sukan masing-masing berakhir, tidak lama lagi.

Turut masih berpeluang untuk ke Sukan Olimpik ialah skuad hoki lelaki negara yang akan bertanding dalam pusingan kelayakan di Kakamigahara, Jepun, bulan depan.

No comments: