Monday, 31 March 2008

MSN perlu perjelaskan

Oleh Lukman Salleh, Ahmad Khawari Isa dan Irwan Shafrizan Ismail


Datuk Wira Mazlan Ahmad dan Datuk Sieh Kok Chi

Mazlan, Sieh minta badan induk lebih telus ke mana wang dibelanja

BELENGGU 'hutang' kini menghimpit Majlis Sukan Negara (MSN) wajar dituruti penjelasan terperinci dan telus mengenai projek serta program dibiayai hingga mengakibatkan kantung badan induk itu kini hampir kosong.

Tambahan pula, ada perkhabaran tidak sampai tiga tahun sebelumnya, kedudukan kewangan MSN begitu ampuh tetapi kini berdepan situasi kritikal

Desakan supaya penelitian rapi dan penjelasan telus itu diluahkan bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad dan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.


"Sejak saya bersara pada Ogos 2005, sudah dua ketua pengarah MSN dilantik. Ketika memegang jawatan itu, sebelum merangka program, saya sentiasa pastikan ada peruntukan untuk menjayakannya. Jika tiada wang, tiada program.

"Ketika itu juga, saya tidak belanja 100 peratus peruntukan. Saya berjimat dengan melaksanakan program dirancang secara total, tetapi pada kos lebih rendah.

"Ia membolehkan lebihan itu disimpan MSN. Kerana itu, ada persatuan marahkan saya kerana mereka berpendapat, jika RM2 juta sudah diluluskan, mengapa tidak belanjakan semua RM2 juta itu.

"Rasional saya mudah. Jika mampu dilaksanakan dengan kos lebih rendah, itulah yang perlu dilakukan. Ia membolehkan kewangan MSN sentiasa stabil dan dapat membina tabungan.

"Mana tahu, jika peruntukan kerajaan dipotong kemudiannya, MSN masih ada tabungan demi memastikan program yang dirancang, mampu diteruskan," katanya.

Kerana itulah, Mazlan mengakui terkejut dengan pendedahan Berita Harian Sukan betapa MSN kini 'berhutang' dengan banyak persatuan sukan kebangsaan.

"Saya hairan bagaimana MSN gagal melunaskan tunggakan bayaran. Persatuan sukan adalah rakan penting MSN dan seharusnya tidak dilayan sebegitu," katanya.

Kok Chi pula mendesak MSN bersikap lebih telus demi memastikan wibawa dan martabat badan induk itu terpelihara.

"Sebelum ini saya ada dengar mengenai kedudukan dana kewangan MSN yang cukup banyak tetapi ketika ini semua sumber itu sudah kehabisan.

"Begitu juga dengan perkhabaran sebahagian sumber kewangan MSN digunakan untuk membiayai beberapa program yang tiada kaitan dengan sukan berprestasi tinggi.

"Justeru, MSN perlu tampil memberikan penjelasan, apatah lagi beberapa persatuan sukan sendiri mengakui MSN masih tertunggak bayaran terhadap mereka," kata Kok Chi.

Kok Chi turut mengesahkan MSN belum melangsaikan bayaran hampir RM1 juta bagi kos pembiayaan atlit ke Sukan Asia, Doha 2006.

"MOM dimaklumkan bahawa MSN berdepan masalah aliran tunai, tetapi tidaklah seperti masalah besar (yang didedahkan) ketika ini. Jika perlu buat audit, ia harus dilakukan demi memastikan MSN badan yang lebih telus," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, memberi jaminan akan mendapatkan gambaran sebenar terhadap masalah hutang tertunggak itu.

"Saya akan berjumpa Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong bagi mendapat laporan terperinci mengenai kemelut itu," katanya ketika ditemui di Felda Tembangau, Bera, semalam. "Saya akan meneliti isu yang dibangkitkan dan berharap ia dapat diselesaikan demi kepentingan sukan negara. Biarpun diselubungi kemelut hutang, persiapan atlit tidak terjejas, malah berjalan seperti biasa mengikut jadual latihan mereka," katanya.

No comments: