Monday, 17 March 2008

Tuanku Mizan cipta sejarah


IMBAS KEMBALI: Tuanku Mizan menamatkan perlumbaan 160 km selepas memintas peserta Australia, Paul Brown di Kejohanan Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge di Lembah Bidong, Merang, Setiu, tahun lalu.

Rakyat Malaysia pertama layak ke Kejuaraan Kuda Lasak Dunia

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin muncul rakyat Malaysia pertama layak ke Kejuaraan Kuda Lasak Dunia 2008 (WEC 2008) yang akan dilangsungkan di Kuala Terengganu, November ini.

Baginda dianugerahkan sijil kelayakan selepas menamatkan perlumbaan dalam masa ditetapkan pada dua kejohanan iaitu pada Kejuaraan Piala Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum dan Piala Kuda Lasak Presiden Emeriyah Arab Bersatu, masing-masing pada 12 Januari dan 16 Februari lalu.


Bagi melayakkan diri ke Kejuaraan Kuda Lasak Dunia, peserta perlu memperoleh dua sijil kelayakan bersama kuda yang sama pada perlumbaan yang diiktiraf Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa.

Bagi mendapatkan sijil kelayakan, peserta mesti menghabiskan perlumbaan sejauh 150 kilometer dalam tempoh 13 jam 20 minit dan Tuanku Mizan menamatkan perlumbaan bersama kuda baginda, Ibrahim Pascha Larzac, masing-masing dengan catatan 11 jam 07 minit 01 saat dan 10:36.21s saat di Dubai dan Abu Dhabi.

Walaupun sudah layak ke WEC 2008, kebiasaannya kebanyakan peserta akan cuba sekali lagi untuk layak menggunakan kuda berbeza kerana kemungkinan ada masalah selepas itu dengan kelayakan kedua akan berlangsung pada Mei ini.

Berita Harian

No comments: