
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong hairan dengan kewujudan ‘mesyuarat dalam mesyuarat’ Lembaga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang membuat keputusan lebih awal, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam badan induk itu sebelum ini.
Kewujudan ‘mesyuarat dalam mesyuarat’ MOM itu yang membabitkan hanya pegawai yang dilantik melalui pemilihan sebelum mesyuarat penuh lembaga eksekutif yang turut dianggotai Ketua Pengarah MSN itu, menimbulkan tanda tanya siapa yang sebenarnya berkuasa membuat keputusan.
“Saya hairan kenapa perlu ada ‘pra-lembaga’ sebelum mesyuarat lembaga MOM yang sebenar,” kata Zolkples mengulas mengenai perjalanan mesyuarat badan induk itu kelmarin, bagi membincang serta memutuskan isu pemberian biasiswa kepada bekas gimnas negara, Ng Shu Wai.
Kelmarin, keputusan menyokong pencalonan Shu Wai untuk menerima biasiswa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) buat program kejurulatihan tiga bulan di Hungary, disahkan dibuat secara ‘bersembunyi’.
Keputusan itu diputuskan dalam ‘mesyuarat sebelum mesyuarat’ Lembaga MOM manakala Zolkples, wakil Institut Sukan Negara, Wong Ah Jit serta wakil Kementerian Pendidikan, Raymond Panting, terpinggir di luar bilik mesyuarat.
Zolkples, mengesahkan beliau tidak dapat masuk ketika ‘mesyuarat sebelum mesyuarat’ itu, dan merakamkan bantahan kerana keputusan itu memperlekehkan isu disiplin gimnas berkenaan sebelumnya.
Turut difahamkan ialah isu pencalonan Shu Wai seperti enggan dibincangkan ketika mesyuarat sebenar Lembaga MOM, sehingga Zolkples sendiri membangkitkannya pada penghujung perbincangan
Ditanya apakah, perkembangan terbaru ini, membuatkan beliau akan memikirkan semula kedudukan dalam Lembaga MOM, sama ada untuk menghadirinya ataupun tidak memandangkan kini semua keputusan diputuskan dalam ‘mesyuarat sebelum mesyuarat.
“Saya akan terus menghadiri mesyuarat sekiranya dijemput,” kata Zolkples. “Kecualilah MOM tidak memerlukan kehadiran saya lagi. Walaupun saya kecewa dengan keputusan semalam, saya akan tetap teruskan hubungan baik ini.
“Saya seorang yang profesional dan sebenarnya saya tidak ada masalah dengan MOM dan saya rasa sekarang ini adalah masa terbaik menjalin hubungan yang pernah kita bentuk antara MSN dan MOM.
“Malah ketika mesyuarat semalam, saya turut mengesyorkan supaya MOM mengambil inisiatif untuk selesaikan masalah PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) dan saya turut tawarkan diri untuk sama-sama membantu,” katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment