Friday, 22 February 2008

Isu Shu Wai tak jejas hubungan MOM-MSN

Oleh Lukman Salleh

PERSELISIHAN pendapat antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara berkaitan isu pemberian biasiswa kepada bekas gimnas, Ng Shu Wai, tidak akan sama sekali menjejaskan hubungan kedua-dua pihak.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata hubungan dengan MSN terlalu berharga untuk dijejaskan oleh isu Shu Wai dan berharap perkara itu tidak akan menjadi satu sengketa antara kedua-dua pihak.

“Saya pasti isu Shu Wai tidak akan menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua pihak,” kata Kok Chi, yang ditemui pada majlis penyampaian hadiah wang tunai oleh syarikat Universal Fitness & Leisure (UFL) Sdn Bhd kepada tiga atlit olahraga di Kuala Lumpur, semalam.


“Hubungan MOM dan MSN terlalu berharga untuk dijejaskan oleh isu Shu Wai ini dan bagi saya, ia hanya satu perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak.

“Saya juga tidak menyangka pemberian biasiswa kepada Shu Wai ini akan menjadi satu isu yang cukup sensitif dan ia bukannya niat MOM untuk menimbulkan perbalahan ataupun persengketaan dengan mana-mana pihak.

“Mungkin kesilapan MOM ialah tidak mengikut prosedur yang sempurna tetapi niat kami hanya hanya mahu membantu atlit yang sememangnya menjadi matlamat badan induk ini iaitu untuk menjaga kepentingan atlit dan persatuan sukan,” kata Kok Chi.

MOM dan MSN berselisih pendapat dan berbalah mengenai pemberian biasiswa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di bawah program Perpaduan Olimpik kepada bekas gimnas kebangsaan itu untuk mengikut kursus kejurulatihan selama tiga bulan di Hungary.

Pada ketika MOM mempertahankan keputusannya dan menganggap ia adalah hak mutlaknya untuk memberikan biasiswa itu kepada Shu Wai serta mendapat persetujuan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), MSN pula mempunyai mempunyai pandangan berbeza.

Bagi MSN, terutama sekali Ketua Pengarahnya Datuk Zolkples Embong, bantahan itu dengan alasan Shu Wai tidak patut mendapat keutamaan itu memandangkan dia terbabit dalam kontroversi yang membawa kepada persaraannya daripada sukan gimnastik.

“Saya tidak ada kepentingan peribadi,” kata Zolkples. “Cuma saya berpegang kepada prinsip dan begitu mementingkan disiplin. Atlit perlu memikirkan apakah sumbangan mereka kepada negara dan bukannya apa yang negara boleh berikan kepada mereka.

“Dalam kes Shu Wai ini, negara sudah memberikan segala-galanya dan pelbagai kemudian dan dia sepatutnya menghargainya,” katanya.

No comments: