
SUKAN Olimpik 2008 di Beijing hanya tinggal 167 hari dan angka atlit Malaysia yang layak ketika ini cuma 13 � satu bilangan yang cukup kecil tetapi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pantas menepis keresahan bahawa ia bukan senario yang cukup membanggakan buat kontinjen negara ketika ini.
Sebaliknya, MOM berasa yakin bahawa menjelang Temasya XXIX bermula 8 Ogos ini, lebih banyak atlit Malaysia akan layak malah ia akan dapat mengatasi angka 26 yang berjaya menempah tiket ke Athens empat tahun lalu.
"Jangan terlalu risau," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi. "Jumlah atlit yang layak ke Beijing pasti akan meningkatkan, malah saya yakin bahawa bilangannya akan mengatasi 26 atlit yang beraksi di Athens.
"Walaupun ketika ini tampak atlit berjaya melayakkan diri ke Beijing berlangsung dengan agak perlahan tetapi perlu ingat ada beberapa sukan yang masih dalam proses kelayakan seperti badminton, hoki, angkat berat dan lumba basikal.
"Memang ada beberapa sukan yang menjadi pertaruhan kita untuk menyaksikan atlit melayakkan diri tidak menjadi tetapi jumlah sebenar yang dapat layak ke Beijing akan hanya diketahui selepas semua proses kelayakan sukan lain selesai," katanya.
Selepas kejayaan cemerlang kontinjen Malaysia di Sukan Sea 2007 di Korat, tahun lalu, sudah semestinya peminat mengharapkan lebih banyak atlit dapat layak ke Sukan Olimpik di Beijing.
Malah, kontinjen Malaysia juga terdesak untuk menyamai atau mengatasi bilangan 26 atlit � jumlah terbesar melayakkan diri dalam sejarah penampilan Sukan Olimpik di Athens 2004, sekalipun mereka gagal membawa pulang sebarang pingat.
"Badminton akan hanya berakhir tempoh kelayakan Mei ini dan kita boleh andaikan bahawa sekurang-kurangnya enam pemain akan beraksi di Beijing," kata Kok Chi. "Begitu juga dengan lumba basikal yang hampir mengesahkan sekurang-kurangnya empat tempat.
"Olahraga masih belum berakhir tempoh kelayakan dan beberapa atlit sedang berusaha keras untuk menempah tiket ke Beijing.
"Justeru, jika ada atlit daripada sukan ini berjaya mengatasi syarat kelayakan sama ada secara merit atau pun melalui pemberian 'wild card', sudah tentu jumlahnya meningkat," katanya.
No comments:
Post a Comment