Thursday, 28 February 2008

Kok Chi merajuk


HASRATNYA sebelum ini hanyalah untuk membantu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetapi tindakannya sering disalah anggap dan akibatnya, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi menerima pelbagai tempelakan.


“Memang saya sedang berada dalam keadaan yang sukar. Niat saya hanyalah untuk membantu tetapi banyak pihak yang tersalah anggap. Saya pernah ditempelak walaupun saya tidak berniat menyebelahi mana-mana pihak.

“Perbalahan di antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) seolah-olah tidak berpenghujung dan di tambah pula dengan apa yang saya terima walaupun berniat untuk membantu, membuatkan saya tawar hati.

“Justeru, saya tidak lagi mahu terbabit dalam pertelingkahan itu dan biarlah mereka (PSM dan Istaf) menyelesaikan masalah mereka sendiri. Saya benar-benar kecewa dan kesal dengan anggapan beberapa pihak terhadap saya,” kata Kok Chi.


Begitupun, Kok Chi tidak mahu mendedahkan nama-nama individu yang memandang serong terhadap usahanya mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi PSM itu.

“Adalah tidak baik sekiranya saya menyebut nama-nama mereka tetapi cukup kalau saya katakan bahawa saya tidak lagi mahu campur tangan dalam isu membabitkan PSM dan Istaf ini,” katanya.

Sebelum ini, PSM termasuk presiden, Datuk Ahmad Ismail digantung oleh Istaf untuk satu tempoh yang belum ditetapkan tetapi Ahmad mempertikaikan penggantungan itu yang dianggap tidak mengikut saluran yang betul.

Kelmarin, Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader mengumumkan bahawa 13 Mac ini sebagai tarikh perbicaraan PSM dan Ahmad yang akan menghadap majlis tribunal y ditubuhkan badan induk antarabangsa itu.

Ahmad dalam sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar semalam mengakui sudah menerima surat panggilan daripada Istaf yang mengarahkan beliau dan PSM untuk hadir di ibu pejabat Istaf di Bangkok, pada tarikh berkenaan.

Kok Chi berkata, sebagai ‘orang kuat’ di dalam sebuah badan yang menyelaras persatuan sukan di Malaysia, berharap PSM dan Istaf akan dapat mencari jalan terbaik untuk keluar daripada permasalahan itu.

“Saya harap kedua-dua pihak akan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik kerana perbalahan seperti itu tidak akan menguntungkan sesiapa,” katanya.

Harian Metro

No comments: