KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempertahankan tindakannya menghantar bekas gimnas negara, Ng Shu Wai mengikuti kursus kejurulatihan di Budapest, Hungary sebagai keputusan majoriti ahli lembaga eksekutifnya yang bersidang, kelmarin.
Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar mengakui, keputusan yang dibantah keras oleh Majlis Sukan Negara (MSN) itu bukan mudah untuk diambil, malah menyifatkan bekas pemenang pingat perak Sukan Asia Doha 2006 itu cukup beruntung kerana tuah turut berpihak kepadanya.
"Ia (percanggahan pendapat) dengan MSN memang jarang berlaku dan kami menghormati mereka tetapi satu keputusan perlu diambil dan ia telah mematuhi kehendak majoriti lembaga," katanya selepas merasmikan sesi Akademi Olimpik Kebangsaan (NOA) Ke-11 di Wisma MOM, semalam.
Tunku Imran mengulas isu Shu Wai yang dicalonkan ke kursus di bawah Program Perpaduan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dari 19 Mac hingga 11 Jun ini tetapi dikatakan dibuat di luar pengetahuan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), malah dibantah oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.
Kelmarin, Lembaga Eksekutif MOM memutuskan untuk meluluskan pemergian gimnas kelahiran Taiping, Perak itu kerana ketiadaan calon berprestasi setingginya selain memikirkan masa depan atlet itu.
Menurut Tunku Imran, Shu Wai juga digesa menghargai keputusan MOM ini yang ibarat peluang keduanya menebus label 'budak nakal' yang terpalit pada dirinya sekali gus tidak mensia-siakannya demi mengharumkan semula sukan gimnastik negara.
"Apa yang kami lakukan untuk Shu Wai banyak berdasarkan pengertian sebenar semangat Olimpik antaranya 'keadilan'. Kepada Shu Wai, jangan sia-siakannya lagi dan saya pasti, peluang seumpama ini tidak akan datang semula," katanya yang juga ahli IOC.
Sementara itu, sesi NOA Ke-11, semalam berjaya mengumpul 48 peserta termasuk 19 warga asing antaranya China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Mongolia, Thailand, Filipina, Brunei, Singapura, Mauritius, Kemboja, Oman, Uzbekistan dan Amerika Syarikat.
"Biarpun Malaysia belum memenangi pingat emas Sukan Olimpik lagi, negara ini masih merupakan antara yang terbaik dalam mengamalkan semangat pergerakan Olimpik dengan menerapkan pendidikannya kepada golongan muda sejak 10 tahun lalu.
"Ramai pemimpin sukan negara hari ini yang lahir daripada akademi ini antaranya Dr. S. Shamala (Yayasan Kecergasan dan Sukan Wanita Malaysia - WSFFM), ada yang menjadi jurulatih sukan tertentu serta pegawai persatuan sukan kebangsaan," katanya.
Jelasnya, NOA berharap satu hari nanti, mereka mampu menubuhkan sebuah pusat pengajian Olimpik di Malaysia menerusi pengembangan dan pertukaran idea baru dari kalangan peserta sesi setiap tahun dengan tema kali ini ialah 'Fahaman Kemanusiaan dan Pergerakan Olimpik'.
Utusan
No comments:
Post a Comment