Thursday, 21 February 2008

MOM akui tersilap dalam kes Shu Wai

Oleh Ahmad Khawari Isa

PENGAKUAN kini terjelma daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) betapa proses pemilihan gimnas ‘terbuang’, Ng Shu Wai, untuk mengikuti program kejurulatihan tiga bulan di Hungary, ada silapnya.

Turut diakui ialah - di sebalik ketegasan berbeza sebelumnya - MOM adalah badan bertanggungjawab mengemukakan borang pencalonan bagi pihak Shu Wai untuk biasiswa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) buat mengikuti program itu.

Pengakuan itu disuarakan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar, yang bagaimanapun berharap isu berkenaan - yang mendapat tentangan terbuka Majlis Sukan Negara (MSN) - tidak terus diperbesar-besarkan.


“Kami tidak boleh nafikan bahawa dalam kes ini, prosedur (pemilihan) sedia ada tidak memuaskan dan mungkin juga tidak diikuti. Daripada aspek pengurusan dalaman MOM, kami perlu pastikan keadaan sebegini tidak berulang.

“Anggaplah ini sebagai kecuaian dalam satu organisasi yang berfungsi dengan baik sebelumnya,” katanya.

Tetapi ia tidak bermakna MOM akan membatalkan keputusan meluluskan pemilihan Shu Wai untuk mengikuti program berkenaan kerana ‘MOM sentiasa meletakkan kepentingan atlit sebagai keutamaan.



“Kita perlu berikannya peluang. Hakikat dia tidak dapat beraksi pada Sukan Sea dan terlepas peluang layak ke Sukan Olimpik sudah cukup sebagai hukuman,” kata Tunku Imran.

Tunku Imran turut menjelaskan rasional di sebalik tindakan mengadakan ‘mesyuarat sebelum mesyuarat’ Lembaga MOM untuk membincangkan isu pencalonan Shu Wai - ketika tiga wakil agensi kerajaan, termasuk Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong - tidak dibenarkan untuk turut serta.

“Ia adalah kaedah biasa dengan perbincangan awal diadakan di kalangan semua ahli yang dipilih, untuk membincangkan urusan dalaman dan pentadbiran MOM.

“(Pada kali ini), ianya digunakan untuk mengetahui pendapat berhubung isu ini selain membincangkan kebaikan serta keburukannya. Selepas itu, diputuskan secara bersama betapa kepentingan atlit perlu diutamakan,” katanya.

Isu pencalonan itu timbul kerana Shu Wai, ekoran beberapa masalah disiplin awal tahun lalu, digugurkan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dan MSN kerana keengganan menjawab surat tunjuk sebab selepas tidak hadir latihan dan tidak mengendahkan usaha MSN mencari jalan penyelesaian untuknya.

Selain itu, Tunku Imran juga bersikap terbuka terhadap cadangan supaya pentadbiran MOM dipantau dan dinilai ekoran pendedahannya sebelum ini betapa ada aspek ‘yang kurang efisien.’

“Saya kini dalam proses memperkenalkan perubahan, termasuk rombakan struktur pengurusan MOM supaya badan induk itu mampu berfungsi dengan lebih berkesan,” katanya.

No comments: