
Oleh Norbakti Alias
Sikap Setiausaha Agung MOM itu wajar dicontohi pegawai sukan yang lain
TAHNIAH buat Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi atas sikap gentleman beliau dalam menangani isu membabitkan bekas gimnas negara, Ng Shu Wai yang dihantar badan induk itu menjalani kursus kejurulatihan di Hungary.
Penulis tidak mahu menyentuh mengenai pemilihan itu yang jelas menimbulkan sedikit ketegangan antara MOM dan Majlis Sukan Negara yang agak kecewa kerana tindakan mereka menggugurkan atlit itu bersama Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) bagai dipandang mudah MOM.
Tapi, apa yang menarik minat penulis adalah sikap Kok Chi, pegawai sukan veteran yang dikenali dengan kelantangannya.
Jangan salah faham. Penulis bukan menyokong atau mengecam tindakannya kerana seperti yang dikatakan tadi, penulis tidak mahu menyentuh mengenainya langsung.
Namun, sikap gentleman Kok Chi yang tetap mahu melayan pihak media ketika menjadi sasaran kononnya bertindak sendirian dalam membuat keputusan itu, adalah sesuatu yang sebenarnya sudah lama hilang di kalangan pegawai sukan masa kini.
Kok Chi sebenarnya boleh memilih mendiamkan diri atau enggan melayan terus wartawan yang menemuinya. Tapi sebagai pegawai sukan yang matang, dia menghadapi situasi itu dengan terbuka.
Beliau tidak langsung meninggikan suara, sebaliknya memberi alasan sendiri dengan cara yang tertib, tanpa perlu menghempas telefon.
Malah, beliau turut mengajak anak buah penulis menemuinya di pejabat, bukan melarikan diri - sesuatu yang cukup biasa dilakukan ramai pegawai sukan yang lain.
Ketika ini, terlalu ramai pegawai sukan termasuk mereka yang dianggap veteran cukup 'lembik', tidak boleh ditegur atau dikritik. Jika ada media yang berbuat demikian, jangan terperanjat seandainya panggilan telefon tidak dijawab atau dihempas.
Pegawai ini hanya mahukan laporan positif mengenai mereka sahaja biarpun persatuan yang mereka pimpin dalam keadaan tunggang-langgang.
Baru-baru ini, anak buah penulis ada mengadu mengenai sikap seorang jurulatih kebangsaan yang 'kepala angin' sehingga sukar untuk dirinya berurusan dengannya.
Perkara ini bukan baru kerana penulis sendiri pernah mengalaminya pada awal 1990-an lalu apabila dia yang ketika itu melatih sebuah kelab, bukan hanya enggan menjawab soalan malah terus menghempas telefon. Memang 'cukup halus' budi bahasa jurulatih ini yang rasanya tidak perlu penulis namakan.
Ingatkan selepas lebih sedekad, jurulatih yang juga bekas pemain kebangsaan ini sudah berubah tapi jelas tiada banyak perubahan pada dirinya, seperti juga standard sukan itu ketika ini.
Hairan tapi itulah hakikatnya. Mereka yang cetek ilmu akan sentiasa fikirkan tanpa laporan media, kedudukan mereka kononnya akan lebih selamat
Mungkin ada sesetengah pegawai yang beranggapan mereka tidak perlukan media atau media yang perlukan mereka. Seandainya itulah yang menjadi pegangan mereka, penulis tidak hairan persatuan yang mereka pegang ini tidak akan melangkah jauh.
Penulis katakan begitu kerana sampai bila penaja sanggup kehilangan peluang mendapat publisiti atas pelaburan mereka, jika pegawai terbabit terus 'besar kepala' kononnya dia yang terbaik sedangkan hakikatnya media memilih menjauhkan diri.
Tanpa publisiti, pasti sukan itu sendiri menerima kesannya termasuk dari segi penjualan tiket, tajaan dan minat orang ramai terhadap sukan itu sendiri.
Persoalannya, apakah pegawai seperti ini sedar akan semua itu atau mereka hanya tahu mementingkan diri masing-masing sahaja.
No comments:
Post a Comment