Monday, 23 July 2007

Tahniah Azalina!



Penerima Anugerah Sukan dan Wanita MOM 2007


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said mendedikasikan Anugerah Sukan dan Wanita Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang diterimanya malam tadi kepada seluruh wanita Malaysia.

Malah, Azalina tidak ketinggalan menyatakan rasa bangganya dengan pencapaian atlit wanita sepanjang 50 tahun kemerdekaan negara.


“Kejayaan saya ini kejayaan wanita seluruh Malaysia. Selepas 50 tahun, peningkatan aksi atlit wanita amat membanggakan dan turut serta menyumbang pencapaian keseluruhan sukan negara,” katanya selepas menerima anugerah itu daripada Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Selain menjadi nadi utama penubuhan Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM), Azalina juga muncul wanita Asia pertama dipilih duta persatuan Women Win di Amsterdam, Belanda, yang membantu aktiviti sukan untuk wanita di seluruh dunia.

Sementara itu, Anugerah Pembangunan Akar Umbi diterima oleh Ee Phoeh Hoon atas usahanya memulakan program pembangunan Persatuan Skuasy Remaja Pulau Pinang pada 1988, manakala manakala Anugerah Wanita dan Sukan untuk Pembangunan Komuniti dimenangi Kok Mong Lin - seorang pendidik, jurulatih dan pegawai teknikal yang memberikan banyak sumbangan dalam sukan gimnastik berirama di negara ini.

Turut menerima anugerah ialah gandingan pengurus dan jurulatih skuad bola keranjang kebangsaan, Tan See Wah dan Tan Wah Heng bagi kategori kerjasama sukan dan wanita.

Anugerah Sukan dan Wanita diperkenalkan sejak 2003 bagi menghargai sumbangan individu dalam mempromosi, membangun dan meningkatkan mutu sukan di kalangan wanita negara ini.

No comments: