MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memberi pengiktirafan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman selaku penerima Anugerah Wanita dan Sukan 2007, malam tadi.
Anugerah itu jadi milik Azalina hasil sumbangannya terhadap usaha menggalakkan lebih ramai wanita membabitkan diri secara aktif dalam sukan, terutama menerusi kewujudan temasya Sukan Wanita Kebangsaan.
“Jawatankuasa pemilihan turut menghargai sumbangannya sebagai perintis kepada penubuhan Yayasan Wanita, Sukan dan Kecergasan Malaysia (WSFFM),” kata Naib Presiden MOM, Low Beng Choo.
Anugerah diilhamkan oleh Jawatankuasa Wanita dalam Sukan MOM itu nyata kian popular hasil daripada meningkatnya jumlah pencalonan yang dikemukakan oleh persatuan sukan kebangsaan, agensi kerajaan serta organisasi bukan kerajaan.
“Tahun ini, kami menerima 27 pencalonan untuk tiga kategori yang disediakan. Selain anugerah itu, dua lagi anugerah ialah Wanita dan Sukan untuk Pembangunan Akar Umbi serta Pembangunan Komuniti,” kata Beng Choo.
Perintis Program Pembangunan Remaja Persatuan Skuasy Pulau Pinang, Ee Phoeh Hoon, menerima anugerah Wanita dan Sukan untuk Pembangunan Akar Umbi manakala pegawai gimrama, Kok Mong Lin, menerima anugerah untuk Pembangunan Komuniti.
“Program yang diperkenalkan Phoeh Hoon berkesan mengenalpasti bakat baru dan mengangkat Pulau Pinang sebagai gudang penghasil pemain skuasy utama kebangsaan.
“Mong Lin pula diiktiraf hasil sumbangan mempopularkan gimrama selain turut bertanggungjawab melatih jurulatih dan mempromosikan program kindergym,” kata Beng Choo.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar dalam majlis penuh gilang gemilang dihadiri lebih 700 personaliti sukan negara.
Berita Harian 21 July 2007
No comments:
Post a Comment