Monday, 30 July 2007

MOM tak mahu pelancong sukan

Walaupun persatuan sanggup menanggung sendiri perbelanjaan atlit ke Korat

MESKIPUN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu memastikan bahawa tidak wujud pelancong sukan ketika temasya Sukan Sea XXIV di Korat, Disember depan, ia menyedari hakikat betapa banyak persatuan bakal sanggup menanggung sendiri perbelanjaan atlit naungan mereka di bawah kategori B.

Sehubungan itu Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaa’far berkata, MOM berharap persatuan menghantar atlit muda yang benar-benar berpotensi untuk didedahkan di peringkat Asia Tenggara di bawah kategori ini.

“Selain itu, ada persatuan kecil yang mahu supaya mereka turut dibenarkan menghantar atlit bertanding di Sukan Sea kerana ia menjadi satu-satunya medan mereka bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya selepas Mesyuarat Majlis di Wisma MOM, semalam.

Katanya, persatuan seperti besbal, bola lisut, polo air dan kebanyakan persatuan yang menyertai acara secara berpasukan lain, berkeras mahu menghantar atlit mereka bersaing di sana kelak.

“Mereka beralasan, Sukan Sea adalah acara antarabangsa yang boleh disertai dan dengan itu, kita menjangkakan ramai atlit dari kategori B akan dihantar ke sana kelak. Ia juga bakal menyaksikan penyertaan kali ini adalah yang terbesar pernah dihantar,” katanya.

Imran berkata, MOM akan mengadakan mesyuarat pemilihan atlit ke Sukan Sea Korat dan Sukan Dalam Dewan Asia di Macau yang turut diadakan penghujung tahun ini, pada esok dan lusa.

Pada mesyuarat berkenaan persatuan akan membentangkan senarai nama atlit yang bakal dihantar termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal ditentukan sama ada penyertaan mereka mengikut kategori A iaitu berdasarkan merit atau kategori B.

Menerusi kategori B, persatuan akan menanggung sendiri perbelanjaan penghantaran atlit mereka dan hanya akan mendapat balik kos yang ditanggung itu jika atlit terbabit membawa pulang pingat dalam acara yang disertai kelak.

Mengulas mengenai Mesyuarat Majlis yang kali pertama diadakan selepas pemilihan Majlis Tertinggi pada lewat Jun lalu, Imran berkata, anggota majlis diberikan penerangan mengenai persediaan atlit, perkembangan dalam urusan pentadbiran termasuk pelantikan pengurusan hotel MOM yang baru.

“Selain itu juga kita menerangkan mengenai pembentukan portfolio baru serta pelan menganjurkan Sukan Golongan Veteran Asia Pasifik (Asia Pasifik Masters Games) pada November depan serta Kongres Sukan Untuk Semua Sedunia juga pada lewat tahun ini,” katanya.

MOM turut mengumumkan Persatuan Mendaki Malaysia dan Persatuan Sukan Xtreme Malaysia diterima masuk sebagai ahli baru MOM ekoran usaha mereka menghantar atlit ke Sukan Dalam Dewan di Macau kelak.

Berita Harian 29 July 2007

No comments: