Friday, 12 October 2012

Kekurangan pakar sains sukan jadi kekangan

Ahmad Shapawi Ismail (dua dari kiri) memberi penerangan kepada media selepas tamat hari pertama Bengkel Post Performance Road To London 2012 di Dewan Perdana Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam. Turut kelihatan tiga ahli panel Datuk Dr. Ramlan Abd Aziz, (dua kanan) Arrifin Mohd Ghani, (kanan) dan Sean Stugess (kiri). - utusan/FAIRUZ IZYANA AYUB 
 
KUALA LUMPUR - Kepakaran yang dimiliki negara dalam bidang sains sukan tidak cukup besar untuk menampung keperluan yang diperlukan bagi membantu kemajuan atlet yang beraksi pada temasya sehebat Sukan Olimpik, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Shapawi Ismail.

Malah menurutnya, kekurangan tersebut merupakan antara kelemahan yang berlaku sewaktu pelaksanaan program Road To London (RTL) 2012.

"Kepakaran kita memang tidak cukup besar dan meluas untuk menampung program besar seperti Sukan Olimpik. Ini antara kelemahan yang telah kita kenal pasti selain masalah lain seperti jurulatih dan atlet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Post Performance-RTL 2012 di sini, semalam.

Ahmad Shapawi memberitahu, setiap kelemahan yang dikenal pasti pada bengkel tersebut akan dibincangkan bersama jurulatih-jurulatih agar kekurangan itu kelak dapat diatasi sewaktu program Rio 2016 dilaksanakan.

"Malah, bukan setakat di Rio sahaja, tetapi juga program-program selepas Rio yang menuju ke arah 2020. Kita kena terima hakikat yang kita memerlukan penglibatan pihak pengurusan sukan, jurulatih, saintis sukan dan pemimpin persatuan.

"Empat tonggak ini amat penting dan peranan mereka diperlukan untuk membantu atlet dari segi pencapaian dan persembahan mereka ketika bersaing di Olimpik kelak," ujarnya.

Mengulas mengenai peranan atlet senior seperti Datuk Lee Chong Wei pada Olimpik Rio, beliau menjelaskan, persoalan sama ada negara masih memerlukan khidmat Chong Wei atau pun tidak pada temasya tersebut empat tahun lagi juga perlu dibincangkan.

"Kalau orang bertanya, saya mengakui yang kita masih memerlukan Chong Wei. Pada ketika itu, kehadirannya amat penting bagi membantu perkembangan pemain-pemain badminton yang lain," tegasnya.

Dalam pada itu, Penasihat (Sains Sukan) kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz pula mengakui program RTL 2012 berjaya dilaksanakan, tetapi gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Jelasnya, apa yang penting sekarang ialah memperbaiki kelemahan RTL untuk dijadikan panduan bagi program akan datang.

No comments: