Friday, 29 June 2012

ISN Minta Bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di London Bantu Nur Suryani

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) akan meminta bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London bagi menyediakan kemudahan sewajarnya jika penembak negara Nur Suryani Mohd Taibi bersalin ketika beraksi di Sukan Olimpik London bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata persiapan itu perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan Nur Suryani tidak menghadapi masalah jika melahirkan anak di sana nanti.

"ISN telah meminta Suruhanjaya Tinggi Malaysia mencari hospital yang sesuai, berdekatan dengan venue menembak untuk Nur Suryani mendapat rawatan yang sewajarnya," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata apa menjadi keutamaan bagi ISN ialah memastikan Nur Suryani dan bayinya selamat, dan beliau sendiri akan membuat pemantauan terhadap perkembangan kesihatan Nur Suryani dari semasa ke semasa.

Dr Ramlan berkata sebelum Nur Suryani berlepas ke London pada 22 Julai, penembak itu akan dirujuk kepada dua pakar ginekologi daripada Hospital Pantai dan pakar perubatan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlebih dahulu.



-- BERNAMA

No comments: