SEPANG - Tidak perlu berlengah lagi, hari ini Institut Sukan Negara (ISN) akan memulakan misi merawat Datuk Lee Chong Wei yang cedera buku lali semasa bertarung dalam Piala Thomas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Ramlan Aziz, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal pasti kecederaan Chong Wei termasuk melakukan ujian MRI (magnetic resonance imaging).
"Dalam masa yang sama juga ISN akan bergabung dengan pakar-pakar perubatan sukan yang terbaik di negara ini termasuk termasuk pakar radiologi dan ortopedik. Gabungan ini akan berbincang untuk mencari jalan terbaik bagi mengembalikan Chong Wei cergas semula," katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Chong Wei mengalami kecederaan buku lali kanan ketika menentang Peter Hoeg Gade dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Thomas kelmarin yang menyaksikan Malaysia tewas 2-3 kepada Denmark.
"Sekarang ini kita hanya bergantung kepada laporan awal di Wuhan yang menyatakan Chong Wei mungkin sembuh dalam tempoh tiga atau empat minggu. Tidak ada sebab untuk kita menyangkal dakwaan tersebut.
"Objektif kita sekarang adalah untuk membolehkannya kembali menyambung latihan secepat mungkin. Ini adalah cabaran buat kami bagi memulihkan kecederaannya dan mencapai tahap kecergasan terbaik," katanya.
Dr. Ramlan berkata, selalunya usaha yang dijalankan bersama seperti ini akan menghasilkan keputusan yang cemerlang malah semua akan bekerja dengan semangat yang lebih tinggi demi negara.
"Kita mempunyai 65 hari lagi, bukan sahaja dari segi fizikal malah semua aspek perlu dititikberatkan kecergasan, pemakanan dan psikologi perlu diambil kira inilah yang dikatakan perubatan dalam sukan.
"Apa yang lebih penting kita mahukan Chong Wei kembali pada prestasi terbaik dan tidak mustahil kita akan mendapat rawatan dari luar negara menggunakan jaringan yang telah sedia ada," kata Dr. Ramlan.
- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment