Thursday, 24 May 2012

Chong Wei Akan Diberi Rawatan Terbaik - Dr Ramlan

SEPANG, 23 Mei (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) akan menghantar pasukan pakar perubatan untuk meneliti kecederaan yang dialami pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan seterusnya memberikan rawatan terbaik untuknya.

"Satu pasukan pakar perubatan yang terdiri daripada pakar radiologi, ortopedik dan fisioterapi akan meneliti kecederaan yang dialami Chong Wei esok di rumahnya sebelum menentukan rawatan lanjut di hospital mana," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Beliau berkata pada masa ini masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang kecederaan yang dialami Chong Wei tanpa pemeriksaan teliti.

"Kita akan periksa beliau...kita akan tengok keadaan fizikal beliau dan juga imbasan MRI yang dibawa balik itu. Mungkin kita perlu membuat imbasan yang lebih terperinci kerana imbasan yang dibuat di sana adalah secara kecemasan," katanya.

Dr Ramlan berkata keputusan mengenai bentuk rawatan terhadap Chong Wei hanya akan diketahui dalam masa satu atau dua hari selepas pemeriksaan awal itu.



-- BERNAMA

No comments: