Belum masa panik
KEKALAHAN Datuk Lee Chong Wei di Terbuka India, kelmarin tidak
membimbangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN)
Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz kerana beranggapan pemain nombor satu dunia
itu belum cukup cergas untuk menghadapi perlawanan sengit.
Beliau yang menonton perlawanan akhir yang membabitkan Chong Wei dengan
pemain Korea, Shon Wan Ho mengesahkan harapan pingat emas Olimpik
negara itu kini bebas daripada masalah kecederaan bahu yang dialami di
Seluruh England.
“Dia (Chong Wei) sudah bebas daripada
kecederaan cuma belum cukup bersedia dari segi kecergasan perlawanan
(match fitness),” kata Ramlan.
Katanya, Chong Wei sudah cukup
kuat dari segi fizikal biarpun pemain itu baru kembali menyertai
perlawanan kompetitif selepas berehat lebih sebulan.
“Ini
kejohanan pertamanya selepas mengalami kecederaan, apa yang dicapai
setakat ini adalah kemajuan. Kita perlu nilai dia dari segi intensiti
sesuatu perlawanan dan berapa perlawanan dihadapinya.
“Apa yang
saya lihat kemajuan dicapainya lebih baik berbanding di England, Mac
lalu kerana kali ini dia lebih berkeyakinan dan berkemampuan untuk
melakukan lebih daripada dua smash berturut-turut,” kata Ramlan.
Menurutnya, kekalahan itu tidak membimbangkan ISN kerana mereka
mensasarkan Chong Wei akan mencapai kemuncak prestasi di Olimpik London,
Julai hingga Ogos ini.
Dalam pada itu, jurulatih fizikal, Mohd
Rosdi Abd Ghani berkata fizikal pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih
boleh diperkemaskan ketika latihan fizikal Chong Wei memasuki fasa
akhir menjelang Olimpik.
“Sekarang kita memasuki fasa akhir
latihan fizikal, jadi dari segi 'volume', bebanan akan ditingkatkan,
begitu juga dengan intensiti latihan di gelanggang,” kata Rosdi.
Jurulatih fizikal dari ISN itu turut mengiringi Chong Wei ke India
selepas pemain itu meminta pakar kecergasan itu mengikutnya ke setiap
kejohanan dan Rosdi mendapati minda Chong Wei kini lebih terbuka.
“Dia memberi maklum balas dengan baik, apa yang dirasakan kurang dalam
dirinya dari segi fizikal sehingga mempengaruhi permainan, dia akan
beritahu dan kami saling berbincang.
“Malah saya juga
menasihatkannya supaya tidak mengambil pusing dengan kekalahan ini
kerana bagi saya, lebih baik dia tewas sekaranguntuk menyedarkannya yang
dia juga sebenarnya tidak boleh hanya memberi fokus kepada Lin Dan dan
memandang mudah lawan lain,” katanya.
Artikel Harian Metro - 1hb Mei 2012
No comments:
Post a Comment