Monday, 9 April 2012

Pusat Satelit ISN dibina di Sibu - Borneo Post

Pembinaan ketiga di negeri ini bukti Sarawak penjana kuasa sukan utama negara

PERLU SENTUHAN EMAS: Gan (dua kiri) ketika menyerahkan pelepas kepada Watson (kanan) sebagai tanda perasmian Projek Sprint sambil disaksikan yang lain di Stadium Miri semalam.

MIRI: Sarawak bakal menjadi penjana kuasa utama sukan negara melalui kewujudan tiga Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) di negeri ini sahaja.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Senator Gan Ping Sieu berkata bahawa ISN pusat telah membuat penelitian justeru Pusat Satelit ISN seterusnya akan dibina di Sibu.

“Kita telah teliti dengan mengambil kira keadaan geografinya. Sarawak ternyata memerlukan lebih banyak pusat seperti ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Satelit ISN Cawangan Miri di Stadium Miri petang semalam.

Beliau turut mengakui Sarawak sudah terbukti kuasa sukan di negeri ini dengan melahirkan ramai atlet yang bertaraf antarabangsa dan ia adalah hasil komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dalam pembangunan sukan di negeri ini.

“Baik dari segi kejurulatihan, kewangan mahupun program, Sarawak antara (negeri) yang terbaik dalam arena sukan secara keseluruhannya,” ujarnya.

Atas sebab itulah katanya, pusat seumpama itu mampu membantu dari banyak aspek baik dari segi psikologi sukan, fisiologi senaman, pemakanan sukan, suaian fizikal, jurulatih dan juga atlet sendiri.

Gan turut menjelaskan bahawa ISN mensasarkan penubuhan sebanyak 19 buah Pusat Satelit ISN lagi di seluruh negara menjelang penghujung tahun 2013.

“Setiap pusat akan ditubuhkan di setiap negeri dan buat masa ini, tiga atau empat negeri di Malaysia belum lagi mempunyai pusat seumpama itu akibat masalah logistik,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berharap kekangan logistik seperti penempatan pegawai akan dapat diatasi sebelum pelancaran pusat yang seterusnya.

Pusat Satelit ISN Cawangan Miri ini adalah yang kedua di Sarawak selepas Kuching dan ia merupakan pusat yang ke-10 dilancarkan di Malaysia.

Selain di Sarawak, Pusat Satelit ISN seumpama itu turut telah dilancarkan di Pulau Pinang, Sekolah-Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Larkin, Kelantan, Terengganu, Kota Kinabalu, Melaka dan Pahang.
Pada majlis yang sama, program “Projek Sprint” turut dilancarkan iaitu satu program di bawah kejurulatihan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.

Hadir sama pada majlis perasmian itu termasuklah Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin, Datuk Bandaraya Miri Lawrence Lai dan Residen Bahagian Miri, Antonio Kahti Galis.



by Mohd Achil Norrlatep. Posted on April 8, 2012, Sunday

No comments: