Tuesday, 20 March 2012

37 Pakar Sains Sukan Untuk Selia Program 'Road To London 2012'


KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Dalam usaha mendapatkan pingat emas Olimpik pertama negara, Institut Sukan Negara (ISN) membentuk satu pasukan khusus, terdiri daripada 37 pakar sains sukan untuk lima jenis sukan di bawah program 'Road To London 2012'.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata pakar-pakar itu bertanggungjawab dalam menyelia keperluan atlet dan jurulatih daripada jenis sukan masing-masing.

"Asalnya pasukan yang dibentuk terdiri dari 51 pakar untuk tujuh jenis sukan di bawah program Road to London 2012, program yang bertujuan memberikan pingat emas sukan Olimpik pertama untuk Malaysia," katanya kepada Bernama, di sini, baru-baru ini.

Tujuh jenis sukan yang disenarai di bawah program Road To London 2012 itu ialah badminton, berbasikal, memanah, acara terjun, menembak, bola sepak dan hoki.

Bola sepak dan hoki bagaimanapun gagal untuk melayakkan diri ke Olimpik London itu.

Empat jenis sukan yang layak ialah berbasikal, memanah, acara terjun dan menembak manakala badminton mempunyai masa hingga Mei ini untuk mendapatkan mata kelayakan.

Bagi badminton, 13 pakar ditugaskan untuk sukan itu kerana pasukan badminton sering bersaing dalam pertandingan di luar negara.

Masing-masing enam pakar diperuntukkan bagi sukan berbasikal dan memanah manakala lima orang untuk acara terjun dan tujuh pakar untuk acara menembak.

Dr Ramlan berkata pasukan itu terdiri daripada pakar dalam penyesuaian, psikologi, bio-mekanik, analisis perlawanan, pemakanan dan bantuan teknikal.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah pakar sains sukan yang akan dibawa bersama kontinjen Malaysia ke London bergantung kepada jumlah atlet negara yang layak bertanding pada sukan itu.

Beliau berkata ISN akan menubuhkan pusat sokongan prestasi di luar perkampungan Sukan Olimpik untuk menampung keperluan atlet.

"ISN bercadang meletakkan empat pakar sukan di perkampungan sukan manakala lapan lagi di pusat sokongan prestasi," katanya.


Oleh Zulhilmi Supaat -- BERNAMA

No comments: