Friday, 6 January 2012

Rujuk ISN sebelum ambil suplemen

KUALA LUMPUR - Atlet kebangsaan perlu merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil sebarang bentuk ubat mahupun vitamin bagi memastikan tidak ada kandungan bahan terlarang yang memungkinkan mereka didapati positif ujian doping.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, atlet seharusnya sudah sedia maklum mengenai hal tersebut dan sewajarnya mereka perlu mengambil suplemen ataupun ubat yang hanya diberi oleh ISN.

"Prosedur ini merupakan satu proses biasa yang dilalui atlet kebangsaan dan mereka telah didedahkan sejak awal pembabitan mereka dalam sukan lagi mengenai pengambilan ubat serta vitamin di bawah pemantauan ISN," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kegagalan dua atlet negara masing-masing seorang daripada olahraga dan angkat berat yang menang pingat pada Sukan SEA XXVI Indonesia lalu positif ujian doping sampel A.

Mengulas lanjut, Dr. Ramlan berkata, aktiviti pendidikan dan proses ujian tersebut telah mula didedahkan sebelum penyertaan atlet ke Sukan Malaysia lagi agar mereka benar-benar memahami hal itu.

"Proses pendidikan pada usia yang muda telah mula kita beri kerana gejala penyalahgunaan dadah boleh berlaku di kalangan atlet pelapis juga," ujarnya.

Mengulas mengenai bahan-bahan terlarang yang mungkin terdapat dalam ubat ataupun vitamin serta protein yang diambil atlet, beliau memberitahu, contoh terbaik yang boleh diambil ialah menerusi pengambilan Falbutamol atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami ialah Ventolin iaitu ubat untuk pesakit asma.
Katanya, Ventolin mampu memberikan dua kesan utama iaitu bertindak sebagai perangsang dan bersifat anabolik (berfungsi membesarkan otot-otot tubuh).

"Dalam hal ini, bagi atlet yang memiliki masalah lelah, mereka boleh mengambil ubat berkenaan dengan cara menyedut (inhaler), tetapi atlet berkenaan perlu mendapatkan kebenaran daripada Adamas (Agensi Anti Doping Malaysia) yang akan mengeluarkan sijil TUE (Therapeutic Use Exemption).

"Atlet terlebih dahulu perlu mendapatkan surat sokongan daripada dua doktor pakar yang mengesahkan mengenai penyakitnya kepada Adamas sebelum sijil itu dikeluarkan," jelasnya.

Jika atlet berkenaan gagal untuk berbuat demikian dan tidak memiliki sijil TUE, Dr. Ramlan berkata, dia berpotensi untuk diuji positif sekiranya diminta menjalani ujian doping.

Menurutnya, bagi atlet angkat berat pula, mereka perlu berhati-hati ketika mengambil protein kerana terdapat beberapa kes yang mana atlet diuji positif setelah urine mereka disahkan mengandungi Nandrolone.
"Nandrolone memberi kesan anabolik kepada tubuh dan ia merupakan sejenis bahan terlarang yang tidak boleh diambil atlet," tambahnya.



UTUSAN MALAYSIA

No comments: