Friday, 6 January 2012

Lantik pegawai perubatan tempatan

KUALA LUMPUR - Tindakan persatuan sukan menggunakan khidmat pegawai perubatan bukan tempatan untuk memantau perkembangan atlet dibimbangi boleh mengundang pelbagai risiko.

Pengkritik Sukan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyuarakan kebimbangannya itu ekoran terdapat persatuan sukan yang sanggup mengetepikan peranan Institut Sukan Negara (ISN) dengan melantik sendiri pegawai perubatan dari luar negara.

"Persatuan sukan seharusnya melantik pegawai perubatan yang mereka benar-benar kenal dan orang itu boleh dipercayai untuk menjaga atlet agar perbuatan sabotaj tidak berlaku ke atas atlet," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Kay Kim, pada zaman yang serba moden ini, sesiapa sahaja boleh mengaku yang dia memiliki kepakaran dalam bidang tertentu, sedangkan persatuan sukan seharusnya sedar untuk melantik seorang pegawai perubatan perlu ada teras kepercayaan.

Jelasnya, langkah yang paling selamat adalah merujuk kepada ISN dan tidak salah meletakkan kepercayaan kepada doktor pakar tempatan berbanding mengambil orang luar berkhidmat.

"Saya cadangkan melantik doktor daripada hospital universiti merupakan langkah paling selamat dan saya rasa ISN boleh memberikan pandangan mengenal hal ini kerana saya tidak mahu melihat atlet kita yang menjadi mangsa," tegasnya.

Beliau berharap ISN lebih tegas dalam usaha mereka memantau atlet dan persatuan sukan perlu menghormati keputusan yang dibuat badan sukan tersebut.

Selain itu, dalam usaha menangani isu penyalahgunaan dadah di kalangan atlet, beliau memberitahu, jalan terbaik adalah kembali kepada pendidikan di sekolah kerana generasi sekarang telah banyak menyimpang daripada norma-norma kehidupan yang betul.


Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

No comments: