Friday, 8 July 2011

Super Nova, ISN Ladies membanggakan ISN - HARIAN METRO

INSTITUT Sukan Negara (ISN) buat julung kalinya menghantar dua pasukan bola jaring menyertai Karnival Futsal Harian Metro Zon Tengah 2 di Melaka hujung minggu lalu.

Pengurus pasukan, Lt Kol (B) Dr Victor Feizal Abd Shatar berkata, pembabitan ISN dalam karnival sukan ini adalah bukti badan itu bukan sekadar mampu menjaga hal ehwal perubatan dan penyelidikan sains sukan sebaliknya membuktikan kakitangan mereka tidak mengabaikan aktiviti sukan.

“Penyertaan kami bukanlah serius untuk bertanding sekadar mengambil bahagian secara tidak langsung kami lebih dekat dengan masyarakat yang mungkin hanya tahu peranan kami sekadar menjaga kesihatan atlet,” kata doktor perubatan ISN itu.

“Tambahan pula baru-baru ini ISN baru saja menganjurkan sukan dalaman dan tidak salah jika memberi peluang kepada kakitangan yang sentiasa aktif bersukan ini merasai bahang saingan di luar pula.” ISN hanya menghantar pasukan acara bola jaring lelaki serta wanita dan mencapai keputusan membanggakan.

Pasukan lelaki, ISN Super Nova melangkah ke suku akhir tetapi tewas di tangan Wan’s Heritage.

“Kami tiada pasukan bola jaring lelaki selama ini dan Super Nova hanya dibentuk ketika sukan dalaman ISN. Saya tidak sangka yang mereka boleh melangkah ke suku akhir, mungkin kami boleh mengekalkan pasukan ini.” Ketika Super Nova ke suku akhir, pasukan wanita mereka ISN Ladies gagal meloloskan diri ke peringkat kalah mati.


myMetro

No comments: