Friday, 1 July 2011

ISN berdiri sebagai badan berkanun tersendiri - BERITA HARIAN

SELEPAS lama berfungsi sebagai entiti di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) akhirnya ‘terpisah’ dan bakal berdiri sebagai badan berkanun tersendiri.

Baru saja mengadakan sambutan ke-15 tahun ISN di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil tahun Mac lalu, Rang Undang-undang Akta Institut Sukan Negara (ISN) 2011 sudah diluluskan di Dewan Rakyat Isnin lalu dan hanya menunggu masa dihantar ke Dewan Negara sebelum diwartakan.

Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata, dengan adanya Akta ISN nanti, banyak perkara boleh dilaksanakan termasuklah melantik lembaga pengarahnya sendiri dalam menentukan tugas dan tanggungjawab secara terperinci.

“Ini akan menjadikan ISN sebagai satu entiti tersendiri yang memberi fokus kepada perubatan sains dan teknologi sukan di Malaysia serta khidmat sokongan untuk atlit daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat elit,” katanya.

Sebelum ini, ISN yang menyediakan pelbagai perkhidmatan cabang sains sukan seperti pakar psikologi, pakar pemakanan, pakar biomekanik dan penganalisis perlawanan banyak membantu persiapan kontinjen negara menghadapi kejohanan dalam dan luar negara.

Kewujudan ISN sebagai badan berkanun juga, kata Dr Ramlan, akan memberi kesan dan impak lebih meluas dalam membantu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menggiatkan usaha membudayakan sukan di kalangan rakyat.



Oleh Jumiati Rosly
jumiati@bharian.com.my
2011/07/01


No comments: