Tuesday, 21 June 2011

Kejutan menanti atlet elak doping - UTUSAN MALAYSIA



Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Ujian doping ke atas tiga atlet olahraga yang berada di Bulgaria tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa, kerana ia harus berjalan dengan sempurna untuk mewujudkan elemen "kejutan" kepada mereka yang terlibat.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz mengakui, ramai yang mempersoalkan bila kesemua atlet berkenaan akan menjalani ujian doping seperti tiga lagi rakan mereka di Malaysia, masalahnya ramai yang tidak faham bahawa proses tersebut tidak semudah yang disangka.

Tegasnya, masalah logistik menjadi punca kelewatan untuk melaksanakan ujian yang sempurna, apatah lagi ujian tersebut bukan dilakukan oleh ISN sendiri, sebaliknya mereka akan menggunakan pihak ketiga iaitu Pertubuhan Anti-Doping Serantau (RADO) Eropah.

"Tindakan sudah diambil. Kita sudah mengesan atlet berkenaan dan mencari waktu yang sesuai untuk melakukan ujian secara mengejut bukan menerusi temujanji. Kalau hendak buat temujanji, ia mungkin lebih mudah tetapi itu bukan prosedur terbaik untuk doping.

"Sebab itu saya kalau boleh enggan mengulas banyak kepada pihak media mengenai perkara ini, kerana jika banyak maklumat yang diberitahu, maka elemen kejutan itu sudah tidak ada lagi, tetapi saya faham ramai orang yang tertanya-tanya tentang perkembangan isu ini, jadi mereka perlu juga menjelaskannya,'' ujar Dr. Ramlan.

Tegas Dr. Ramlan, walaupun ujian tidak semestinya hanya dilakukan di Bulgaria, dalam kata lain boleh dibuat di Malaysia apabila mereka pulang daripada latihan di Eropah, namun beliau sebolehnya mahu perkara itu diselesaikan sebelum mereka kembali ke tanah air.

Katanya, dengan memastikan semua atlet tersebut menjalani ujian di Bulgaria, ISN memberi mesej jelas kepada atlet kebangsaan yang lain bahawa mereka tidak boleh lepas daripada tanggungjawab dan boleh dicari walau di mana mereka berada.

"Kalau boleh saya mahu ujian dibuat di Bulgaria, biar atlet yang lain tahu bahawa mereka boleh dicari tidak kira di mana mereka berada,'' tegasnya.

Tiga atlet olahraga yang sebelum ini gagal menghadiri ujian doping di ISN pada 24 Mei lalu adalah Norjannah Hafizah Jamaluddin, Nurul Sarah Kadir dan Noor Imran Hadi. Mereka dilaporkan berada di Sofia, bagi tujuan latihan dan menyertai beberapa pertandingan.

No comments: