Thursday, 2 June 2011

3 bebas dadah - UTUSAN MALAYSIA




BANGI - Tiga daripada enam atlet olahraga yang hilang daripada ujian doping, minggu lalu disahkan negatif daripada mengambil bahan terlarang, namun itu tidak bermakna isu berkenaan sudah selesai kerana Institut Sukan Negara (ISN) masih memburu tiga lagi atlet yang sudah 'menghilang' ke Bulgaria.

Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz (gambar) semalam mengesahkan, semua sampel ujian doping melibatkan tiga atlet tersebut dihantar ke New Delhi, India melalui Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Rabu lalu sebelum keputusan diperoleh malam kelmarin.

Mereka yang disahkan negatif dadah ialah Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamad dan Yi Yee Leng, manakala tiga lagi yang masih diburu ialah Norjannah Hafiszah Kamaruddin, Nurul Sarah Kadir serta Noor Imran Hadi. Menurut Dr. Ramlan berkata, tiga atlet tersebut adalah antara 11 atlet olahraga yang disahkan negatif.

"Pihak kami akan terus mencari baki tiga lagi atlet tersebut kerana ujian ini tetap perlu dijalankan walaupun mereka telah berada di luar negara.

"Ujian doping amat penting ke atas atlet yang belum menjalaninya kerana kami ingin memastikan mereka bebas daripada bahan terlarang,'' kata Dr. Ramlan pada sidang akhbar di Perkampungan Atlet Sukan Malaysia XIV, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.

Dr. Ramlan berkata, Jawatankuasa Pengurusan Keputusan yang dikendalikan oleh Adamas akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan bagaimana mereka dapat mencari tiga atlet di Bulgaria.

"Dalam mesyuarat itu mereka akan mencari jalan bagaimana hendak mengesan kita mencari tiga lagi atlet yang kini berada di Bulgaria.
"Pihak Adamas akan mendapatkan maklumat penuh daripada Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) berhubung lokasi atlet tersebut.

"Mereka juga akan memberi tempoh kepada badan olahraga itu untuk memastikan atlet terlibat menjalani ujian doping,'' jelas Dr. Ramlan.

Lapan lagi atlet olahraga yang turut disahkan negatif dadah adalah Yap Jeng Tzan, Tan Song Hwa, Lo Chong Sieng, Noraseela Mohd. Khalid, P.Yuvaraaj, Mohd. Jironi Ridzuan, Ganthimanthi dan Mathialagan.



Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments: