Tuesday, 31 May 2011

Keputusan doping tiga hari lagi - UTUSAN MALAYSIA



KUALA LUMPUR - Keputusan hasil ujian doping ke atas tiga daripada enam atlet olahraga yang dilaporkan menghilang minggu lalu bakal di ketahui selewat-lewatnya dalam tempoh tiga hari lagi.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz berkata, ketika ini ujian masih lagi dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) yang bertanggungjawab menganalisis ujian doping bagi tiga atlet olahraga tersebut.

Katanya, proses ujian hanya akan menjadi rumit sekiranya keputusan yang diperoleh oleh Adamas mendapati atlet tersebut positif mengambil bahan terlarang.

"Mungkin keputusan tersebut akan diperolehi dalam dua tiga hari ini namun itu bergantung kepada hasil yang diperolehi.

"Jika ujian tersebut positif mungkin akan mengambil masa yang agak lama lagi kerana pihak Adamas terpaksa melakukan sekali lagi ujian ke atas sampel kedua pula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Dr. Ramlan, seandainya keputusan yang diperolehi adalah positif, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Keputusan yang dikendalikan oleh Adamas akan menilai hasil ujian tersebut.
Atlet yang terlibat akan diberikan pilihan untuk pihak Adamas melakukan ujian ke atas sampel kedua atau sebaliknya.

"Semasa mesyuarat tersebut atlet juga akan dimaklumkan berhubung hasil ujian ke atas sampel pertama.
"Ujian kedua hanya akan dijalankan atas permintaan atlet itu sendiri dan jika hasil yang diperolehi adalah negatif sudah tentu tidak akan timbul banyak masalah," jelas Dr. Ramlan.



UTUSAN MALAYSIA

No comments: