Wednesday, 9 March 2011

Ilmu sains sukan jadi teras ISN cari bakat pada usia rebung - UTUSAN MALAYSIA


UTUSAN: Sejauh mana kepakaran ISN mampu menjana kemajuan atlet secara keseluruhan untuk jangka panjang?

Dr. Ramlan: Peranan dan kepakaran ISN amat luas, antaranya membina kefahaman kepada atlet bagi mengikis tabiat pemakanan buruk yang mampu menjejaskan prestasi mereka. Sebenarnya mendidik atlet ini merupakan satu tugas yang amat berat dan mencabar kepada para pegawai ISN. Selain itu, ISN turut memantau tahap kecergasan atlet yang cedera dan berperanan mengurus psikologi serta kinesiologi atlet.

Bagaimana dengan program jangka panjang terutamanya yang melibatkan peringkat akar umbi?
Dr. Ramlan: Bercakap mengenai program jangka panjang, ISN sebenarnya memiliki projek yang dibangunkan di peringkat akar umbi iaitu Tunas Gemilang dan program Mencari Juara. Projek Tunas Gemilang merupakan program mengenal pasti bakat yang dilaksanakan secara saintifik dengan menjalankan beberapa ujian bagi tujuan mencungkil potensi yang ada dalam diri peserta yang terdiri dari kalangan murid-murid tahun 1 hingga 3.

Sejak projek Tunas Gemilang dilaksanakan pada 2007 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, seramai 30,000 murid telah diuji dari segi fizikal, daya ketahanan, kelajuan larian, ketinggian, berat badan dan ujian lain yang berkaitan. Daripada jumlah itu, seramai 1,500 murid dikenal pasti potensi mereka.

Murid berkenaan akan kita cungkil potensi yang ada dalam diri mereka mengikut kesesuaian jenis sukan. Pada peringkat usia yang masih mentah ini, mudah untuk ISN memupuk minat serta kemahiran terhadap sukan yang bersesuaian dengan mereka.

Sebagai contoh, ada murid dari segi fizikal dan daya ketahanannya sesuai untuk sukan yang memerlukan fokus yang tajam seperti boling serta memanah. Namun, mereka tidak pula sesuai untuk bola sepak atau pun hoki. Di sini ISN memainkan peranan agar bakat yang ada tidak disia-siakan hanya kerana tersalah pilih jenis sukan ekoran saiz fizikal yang tidak sesuai.

Ramai yang tidak menyedari ISN merupakan sebuah institusi yang berdiri sendiri, bukan lagi di diletakkan di bawah MSN. Bagaimana ISN boleh dibawa keluar dari MSN?
Dr. Ramlan: Sebelum ini, saya pernah mencadangkan agar ISN ada kuasa autonomi dengan peruntukan sendiri. Ini kerana saya berpendapat ISN tidak boleh mengikut gaya pengurusan bahagian sukan yang lain, jika mahu melihat bidang sains sukan terus berdaya maju.

ISN merupakan sebuah badan sukan yang melaksanakan tugas-tugas meningkatkan prestasi atlet untuk sukan berprestasi tinggi, selain melakukan kaji selidik bagi mencari formula terbaik melahirkan atlet berwibawa.
Menyedari kepentingan sains sukan kepada bidang ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said pada ketika itu telah membuat keputusan berani dengan mewujudkan ISN sebagai sebuah badan berasingan pada 2007 dan saya telah dilantik sebagai Ketua Pengarah pertama ISN.

Bagi membangunkan bidang sains sukan di negara ini, ISN sudah tentu memerlukan ramai pakar berwibawa bagi menjayakannya. Boleh datuk jelaskan mengenai perkara ini?

Dr. Ramlan: Menjelang Sukan Komanwel, ISN telah diperkuatkan dengan bantuan pakar luar negara iaitu dari Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Melalui kumpulan pakar asing ini, anak-anak tempatan termasuk saya sendiri memanfaatkan kesempatan yang ada untuk menimba pengalaman dengan 15 pakar berkenaan.

Bermula dari situ, ISN secara perlahan-lahan membina kekuatan tenaga pakarnya sendiri dan kini kita sudah boleh berbangga dengan kepakaran tempatan yang kita miliki.

Dalam ISN, kita memiliki ramai pakar dalam bidang sains sukan dan teknologi sukan. Peranan ISN amat luas kerana kita menjaga soal pemakanan, fisiologi, psikologi dan kinesiologi atlet. Malah ISN turut melakukan penyelidikannya sendiri bagi mencari formula terbaik untuk melahirkan atlet yang berkualiti tinggi.

Bagaimana pula dari segi peruntukan yang mana ISN sudah tentu memerlukan modal yang cukup besar untuk membangunkan sukan di negara ini khususnya di peringkat akar umbi?
Dr. Ramlan: Dari segi peruntukan, apa yang boleh saya ulas di sini jumlahnya masih tidak bertambah kerana semuanya diletakkan di bawah Lembaga Pengurusan MSN. Namun, itu semua melibatkan isu teknikal yang hanya bersifat sementara waktu sahaja. Lagipun, Akta ISN akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Mac ini.
Malah dua minggu lepas, Kabinet telah luluskan draf rang undang-undang untuk dibaca buat kali pertama di Parlimen. Sementara menanti keputusan tersebut, ISN akan terus pro-aktif menjalankan tugas bagi mendidik, menyediakan perkhidmatan, menjalankan penyelidikan dan inovasi serta memastikan peralatan dan kemudahan sukan yang ada memenuhi standard yang ditetapkan.



UTUSAN MALAYSIA

No comments: