Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (gambar) berkata, penubuhan Unit Perancangan Periodisasi dan Pemantauan Atlet (UPPA) itu membuktikan komitmen ISN dalam memastikan usaha memburu emas pertama Sukan Olimpik dicapai.
“Unit ini akan memantau perkembangan atlet secara langsung dengan setiap aktiviti baik latihan di gelanggang mahupun kecergasan fizikal di gimnasium direkodkan jurulatih sebelum dihantar kepada UPPA setiap bulan,” kata Ramlan yang ditemui di pejabat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam selepas bermesyuarat bersama jurulatih badminton dan Pengarah Prestasi Tinggi, Datuk James Selvaraj.
Sebelum ini, semua aktiviti latihan atlet direkodkan dalam komputer, menyukarkan ISN membuat penilaian sama ada atlet benar-benar mengikut program yang dirancang atau sebaliknya.
Justeru, Ramlan berkata, di bawah UPPA yang diketuai pegawai ISN, Thung Jin Seng ini, jurulatih sama ada di gelanggang mahupun di gimnasium akan merekod setiap aktiviti latihan atlet dalam borang yang disediakan unit terbabit.
“Melalui cara ini atlet tidak boleh curi tulang kerana kita akan dapat mengesan setiap aktiviti yang tidak mereka ikuti. Malah, UPPA juga boleh menilai sejauh mana jurulatih melaksanakan tanggungjawab ke atas atletnya.” Ramlan mengakui unit khas dianggotai tujuh hingga lapan orang pegawai ISN ini hanya diwujudkan untuk sukan badminton kerana pihaknya yakin badminton mampu merealisasikan harapan pingat emas sekiranya disokong kaedah saintifik. Unit itu juga akan menjadi teras memantau pembangunan atlet ke Sukan Olimpik 2016.
Badminton bersama tiga lagi sukan lain iaitu memanah, berbasikal dan terjun mendapat perhatian khas ISN yang diletak di bawah pemantauan jurulatih fizikal institut itu, Sean Sturgess.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment