Friday, 18 February 2011

BAM tak maklum ISN

PANTAU...ketua jurulatih skuad badminton negara, Rashid Sidek (kanan)  memantau  Chong Wei menjalani latihan menjelang  GP Terengganu yang dijadual bermula  hari ini hingga  21 Februari, minggu lalu.
PANTAU...ketua jurulatih skuad badminton negara, Rashid Sidek (kanan) memantau Chong Wei menjalani latihan menjelang GP Terengganu yang dijadual bermula hari ini hingga 21 Februari, minggu lalu. 
 
INSTITUT SUKAN NEGARA (ISN) mengakui tindakan mengejut jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengambil bahagian dalam Superliga Badminton di Indonesia minggu depan boleh merencatkan program dirancang badan itu untuk Road To London.
Ketua Pengarah, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, keputusan mengikuti kejohanan sesuka hati tanpa memaklumkan kepada pihaknya yang memantau rapat perkembangan atlet baik dari segi kesihatan mahupun fizikal adalah tindakan tidak wajar.

“Saya harap apa yang ISN lakukan dihargai. Kami tidak lakukan untuk mendapat nama tapi demi kepentingan negara yang mensasarkan untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik 2012,” kata Ramlan yang ditemui di pejabatnya semalam.
Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini bersetuju membenarkan atlet elit menyertai 14 kejohanan utama dan tiga saingan liga di China, tidak termasuk liga Indonesia yang tiba-tiba muncul.

Ramlan tidak menyalahkan atlet semata-mata sebaliknya menuntut persatuan lebih telus dan bertanggungjawab dengan memaklumkan kepada pihaknya mengenai perkembangan atlet, baik dari segi kesihatan mahupun pergerakan atlet yang menyertai mana-mana kejohanan.

“Tiada siapa maklumkan kepada saya Chong Wei akan ke Indonesia kecuali mengetahuinya menerusi akhbar. Tadi Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) juga bermesyuarat dengan saya tapi tidak beritahu apa-apa dan saya masih berharap mendengar kenyataan beliau,” kata Ramlan yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil Khidmat Sains Sukan dan Perubatan Sukan program Road To London di Bukit Jalil.

“Kita tubuhkan Unit Perancangan Periodisasi dan Pemantauan Atlet (UPPA) bertujuan memantau perkembangan atlet supaya kekal dalam keadaan berdaya saing untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik.

“Atlet menyertai kejohanan di luar dengan pelbagai risiko tanpa pengetahuan kami sekalipun tetap dibantu tapi hanya apabila mereka pulang. Namun, bagaimana situasi mereka jika cedera? Kami akan cuba pulihkan tapi apakah ini perancangan kita untuk Road To London?” kata Ramlan lagi

“Saya tidak kisah sangat jika atlet tiba-tiba dihantar ke mana-mana kejohanan tapi beritahu kami kerana kami bertanggungjawab ke atas atlet. Cubalah kita utamakan kepentingan negara.

“Kami di ISN sudah buktikan bila atlet menyertai banyak kejohanan, ia boleh jejaskan kecergasan dan mengganggu proses pemulihan (kepenatan dan kecederaan).” Kelmarin, BAM mengesahkan Chong Wei beraksi di Superliga Badminton di Surabaya, menyertai kelab SGS PLN Bandung yang turut dianggotai Taufik Hidayat.

Sebanyak tujuh kelab bertanding dalam Superliga Indonesia iaitu Djarum Kudus, Jaya Raya Jakarta, Jaya Raya Suryanaga Surabaya, Musica Champion Kudus, Mutiara Bandung, Tangkas Alfamart Jakarta dan SGS PLN Bandung sendiri. Ramlan turut mengesahkan pihaknya dalam proses membuat penilaian terhadap jumlah kejohanan optimum yang sesuai untuk atlet sertai bagi menghasilkan keputusan positif dalam setiap kejohanan.


 H.Metro

No comments: