Monday, 14 February 2011

Ayuh tampil henjutan bertenaga


ANUAR (dua dari kiri) bersama rakan-rakan senegaranya dalam pasukan L2A yang menyertai LTdL 2011. Dari kiri, Shahrul Mat Amin, Saufi Mat Senan dan Harrif Salleh.



KOSMO!: LTdL 2011 baru berakhir. Secara peribadi, bagaimana Tuan Haji melihat prestasi kesemua enam pelumba pasukan kebangsaan Malaysia pada saingan kali ini?

ABU SAMAH ABD. WAHAB: Sejak dulu lagi selaku Presiden PKBM, saya memang melihat wujud kelemahan yang melanda pasukan lebuh raya Malaysia. Hakikat tersebut memang saya akui. Saya tak pernah lari daripada hakikat tersebut.

Bertitik tolak daripada kelemahan tersebut, PKBM cuba melakukan apa saja termasuk membawa juru- latih berkaliber dari Australia, Graham Seers. Dalam perbincangan awal bersama Seers, saya telah tekankan kelemahan pasukan kebangsaan Malaysia. Saya tegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai pendaki yang hebat seperti Iran. Mereka ada Ghader Mizbani, Hossein Askari, Rahim Emami dan Mehdi Sohrabi.

Sedangkan kita masih tercari-cari siapakah calon pendaki yang boleh menakluk Cameron Highlands dan Genting Highlands pada perlumbaan back-to-back iaitu dua hari berturut- turut. Saya membincangkan perkara ini bersama Seers. Bagaimanapun, beliau minta saya berlaku adil kepadanya.

Dia baru saja tiba di Malaysia iaitu pada minggu pertama tahun 2011. Sedangkan LTdL 2011 bermula 23 Januari di Pulau Langkawi. Jadi memang wajarlah kalau Seers minta dia diberikan markah secara adil. Ini kerana dia baru berada di Malaysia selama 21 hari sebelum LTdL 2011 bermula.

Jadi secara keseluruhan, saya merumuskan persembahan pasukan kebangsaan Malaysia sepanjang LTdL 2011 adalah sederhana tetapi boleh dipertingkatkan dengan kerjasama semua pihak. Waktu kita hendak memajukan pasukan trek dahulu pun kita terima banyak rintangan tetapi sekarang pasukan trek Malaysia sudah bertaraf dunia. Saya minta semua pihak di Malaysia bersabar dan biarkan kami terus berusaha untuk memajukan tahap dan kualiti pasukan lebuh raya negara.

APAKAH punca yang menyebabkan pelumba kebangsaan Malaysia gagal menyerlah berbanding pelumba tempatan yang mewakili pasukan lain seperti Terengganu Cycling Team (TSG), Le Tua Cycling Team (L2A) dan Drapac Professional Cycling Team?

SEKALI lagi saya ingin melontar satu persoalan? Adakah pelumba negara yang berkayuh untuk TSG, L2A atau Drapac tidak memohon lesen atas nama Malay- sia. Saya ingin tegaskan bahawa Saufi Mat Senan, Mohd. Harrif Salleh, Ng Yong Li, Mohd. Shahrul Mat Amin, Muhammad Adiq Hussainie Othman atau Anuar Manan adalah pelumba kebangsaan sebelum mereka ditawarkan kontrak oleh TSG, L2A atau Drapac.

Saya juga ingin tegaskan betapa beruntungnya TSG kerana PKBM tidak meminta sebarang pampasan atau kos untuk membangunkan bakat awal pelumba-pelumba seperti Saufi, Yong Li, Shahrul, Adiq atau Anuar.
Waktu penubuhan awal TSG, ada yang menyarankan agar PKBM meminta sedi- kit pampasan daripada pasukan benua tersebut sebagai kos membangunkan bakat awal pelumba. Bagaimanapun, saya menerima nasihat daripada Ketua Setia- usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed yang meminta PKBM agar memberi laluan mudah kepada TSG. Saya bersetuju dengan pandangan beliau.

Sebagai contoh, apabila pasukan lebuh raya Malaysia menyertai acara lepas beramai-ramai lelaki senior, kami tetap menyenaraikan Anuar, Adiq dan Yong Li. Tidak timbul soal mereka pelumba TSG, L2A atau Drapac. Mereka sekarang menyarung jersi Malaysia dan kalau menang, lagu Negaraku tetap berkumandang.

PELUMBA Malaysia sekali lagi dilihat gagal menyaingi kehebatan pelumba luar khususnya pada peringkat pendakian di Cameron Highlands dan Genting Highlands. Apa komen Tuan Haji mengenai perkara ini?
SEBENARNYA apabila kita menganjurkan LTdL 2011, seharusnya sedikit kelebihan perlu diberikan kepada pelumba Malaysia. Kita anjurkan LTdL 2011 sedikit sebanyak tujuannya ialah untuk memberi pendedahan kepada pelumba Malaysia, selain ingin memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Kalau menang dapatlah mereka merasai nikmat hadiah kemenangan sejumlah RM1 juta.

Secara kasar, saya melihat kalau sebe- lum ini laluan ke Genting boleh 'disimpan' pada hari kedua terakhir kejohanan, kenapa kali ini ia tidak dilakar sedemikian rupa? Saya ingin bertanya adakah mereka ingin menguji kehebatan pelumba negara sedangkan mereka tahu standard sebenar pelumba seperti Amir Mustafa Rusli, Muhammad Rauf Nur Misbah atau Muhammad Nur Rizuan Zainal.

Jelas mereka belum mencapai standard kayuhan seperti Mizbani, Askari, Emami atau Sohrabi. Ini adalah satu hakikat nyata yang tidak boleh disembunyikan. Kita sedang mengejar mereka dari belakang.

Saya sedang mengarahkan Seers agar meningkat daya kayuhan pada peringkat pendakian. Tiada apa yang PKBM ingin sorokkan di sini. Kami tahu di mana tahap pelumba Malaysia. Soalnya kenapa perlu diadakan perlumbaan back-to-back sedangkan kita tahu tahap kayuhan pelumba negara. Di sini saya ingin tegaskan bahawa selaku Presiden PKBM, saya tidak pernah sama sekali menyembunyikan hakikat bahawa mereka sedang mencuba untuk menjadi good climber.

Saya juga sedang berusaha untuk mening- katkan jurang besar di antara pasukan lebuh raya dan trek. Bagaimanapun, di sebalik kekalahan di Cameron dan Genting Highlands, saya ingin berterima kasih kepada penganjur khususnya Datuk Mohid selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk LTdL 2011 kerana masih mempercayai kewibawaan pasukan kebangsaan Malaysia. Selaku Presiden PKBM, saya berikrar akan terus memajukan kualiti kayuhan pasukan lebuh raya. Saya tak akan berhenti di sini.


BENARKAH dakwaan yang mengatakan pelumba Malaysia keletihan disebabkan terpaksa mengharungi dua peringkat pendakian dalam masa dua hari berturut-turut?
SAYA rasa kita telah mene- rima bantuan yang sangat mencukupi daripada Institut Sukan Negara (ISN). Kakitangan ISN sentiasa mencari jalan untuk memastikan pelumba negara sempat recover daripada kepenatan agar mereka segar pada perlumbaan seterusnya. Jadi tak timbul soal keletihan.


ADAKAH kehadiran Seers dapat membantu prestasi pelumba kebangsaan Malaysia pada LTdL 2011 atau sebalik- nya?

APAKAH yang dapat Seers lakukan dalam masa 21 hari sebelum bermulanya LTdL 2011? Saya pun tak harapkan keajaiban daripada dia pada LTdL 2011. Sasaran sebenar untuk Seers adalah pingat emas pada Sukan SEA 2011 yang akan diadakan di Indonesia. Saya anggap Seers gagal kalau Malaysia tak menang pingat emas pada Sukan SEA 2011. Kita ada Raja Pecut iaitu Anuar. Kita ada pendaki yang hebat seperti Saufi atau Shahrul.

Tentang kehadiran Seers, saya jangkakan dia akan mencurahkan ilmu dan kepakaran- nya kepada jurulatih tempatan. Saya mahu Seers bertindak seperti konsultan yang memberi arahan dan ilmu pengetahuan kepada semua 23 jurulatih tempatan yang mempunyai Sijil Tahap 2 seperti Syed Mazlan Hussainie Syed Mohamed atau Mahazir Hamad. Saya rasa untuk jangka masa panjang kehadiran Seers pasti memberikan sedikit sinar kepada pasukan lebuh raya Malaysia. Bagaimanapun, kita perlu memberi sokongan dan masa kepada Seers.


BAGAIMANA pula dengan persembahan beberapa pelumba negara yang mewakili pasukan lain seperti Anuar dan Harrif (TSG) dan Adiq (Drapac)?

SAYA puji persembahan Anuar. Dia memang seorang pelumba yang sesuai untuk perlumbaan berbentuk jelajah. Walaupun gagal mempertahankan jersi raja pecut, namun Anuar serta Harrif beberapa kali naik podium dan nama Malaysia disebut berulang-ulang kali. Begitu juga dengan Harrif yang dapat nombor tiga pada perlumbaan peringkat pertama di Langkawi.

Bagaimanapun, Anuar harus membuktikan bahawa dia juga serius apabila menyertai kejohanan perlumbaan sehari (one-day-race) yang tidak menawarkan hadiah kemenangan yang besar seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel, Sukan Asia atau Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC). Saya tak mahu wujud tohmahan bahawa Anuar hanya mementingkan wang ringgit tetapi sentiasa gagal apabila menyertai kejohanan utama.


SELEPAS LTdL 2011, kini tugasan pelumba lebuh raya negara terarah kepada ACC 2011 di Korat. Adakah mereka sudah bersedia selepas baru mengerah keringat pada LTdL 2011?

SAYA memang sentiasa impikan kejayaan pasukan lebuh raya pada peringkat senior. Selepas Nor Effandy Rosli dapat pingat gangsa menerusi acara lepas beramai-ramai pada Kejohanan Lumba Basikal Asia di Ipoh (saya tak ingat tahun berapa tapi kalau tak silap 1991 atau 1995), Malaysia kemarau kejayaan di peringkat Asia. Kita sentiasa berjaya pada peringkat junior apabila Mohd. Zahit Sayuti dan Adiq Hussainie berjaya dapat pingat perak dalam acara lepas beramai-ramai junior. Jadi sudah tentu saya harapkan sesuatu pada ACC kali ini.

Rasanya kita memiliki barisan pelumba yang mantap kali ini. Apatah lagi pelumba Malaysia sudah tahu laluan di Korat kerana ia adalah laluan sebenar pada kejohanan Sukan SEA. Saya rasa Anuar sendiri sudah tahu bagaimana laluan di Korat. Harap-harap Anuar boleh memanfaatkan pengalamannya pernah beraksi di Korat untuk melakar sesuatu pada ACC 2011.

PADA ACC 2010, Malaysia sekadar membawa pulang 10 pingat (lapan menerusi skuad junior dan dua daripada skuad elit). Adakah kita sekali lagi mengharapkan skuad junior untuk menyumbang pingat?

SEBENARNYA saya harapkan kutipan yang seimbang. Punca kekalahan di Shar- jah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu adalah velodrom terbukanya sering dilanda angin kuat. Ini menyebabkan pelumba utama kita seperti Mohd. Azizulhasni Awang terpaksa mengambil pendekatan berjaga-jaga kerana mereka perlu menyertai Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Asia 2010 selepas itu. Kali ini senarionya agak berbeza dan saya harapkan pencapaian pingat yang lebih bagus.

NEGARA manakah yang akan menjadi pencabar utama Malaysia pada ACC kali ini?

SEPERTI biasa, saya jangkakan cabaran akan dating dari Kazakshtan, Uzbekistan, Iran, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong. Jangan terperanjat kalau Wong Kam Po masih boleh lakukan kejutan. Cabaran pelumba Kyrgyzstan juga tidak boleh dipandang rendah.

ADAKAH Anuar serta beberapa pelumba elit Malaysia lain dapat melakukan kejutan pada ACC kali ini?
KALAU mereka dapat meniru semangat membara yang ditunjukkan oleh Azizulhasni, Josiah Ng, Rizal Tisin atau Mohd. Edrus Md. Yunos, saya rasa pelumba lebuh raya Malaysia pasti boleh lakukan sesuatu. Cuba lihat susuk tubuh Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli yang agak kecil dan rendah tetapi dia masih boleh muncul pemenang untuk lima pering- kat perlumbaan.

Kalau Azizulhasni, Josiah Ng, Rizal Tisin atau Edrus boleh, kenapa pula Anuar Manan dan rakan-rakannya tak boleh menang!

SEPERTI yang kita ketahui, skuad lebuh raya negara agak 'ke belakang' berbanding skuad trek yang diterajui Azizulhasni. Apa komen Tuan Haji mengenai perkara ini?

TERIMA kasih kerana mengajukan soalan ini kepada saya. Saya sudah jawap soalan ini beratus kali, malah mungkin beribu kali. Saya sentiasa mengaku betapa wujudnya jurang di antara pasukan trek dan lebuh raya. Ini satu attitude yang tiada siapa boleh nafikan. Pengakuan ikhlas ini bertujuan untuk mengingatkan pelumba lebuh raya bahawa mereka belum setanding dengan pasukan trek. Justeru, mereka harus terus bekerja kuat untuk menang dan terus menang dan terus menang. Bagi pihak PKBM, saya akan pastikan usaha untuk menaikkan kualiti kayuhan pelumba lebuh raya akan terus dimantapkan.

JADI mampukan skuad trek negara melakar kejayaan yang diharapkan pada ACC 2011?

DENGAN barisan pelumba seperti Azizulhasni, Josiah Ng, Rizal Tisin atau Edrus, saya percaya Malaysia boleh terus menjadi kuasa besar dalam acara trek selain Jepun, Korea Selatan. China atau Iran. Malah saya mahu mereka tebus kekecewaan di ACC 2010 di Sharjah, UAE apabila pasukan trek negara gagal membawa pulang sebarang pingat emas. Saya meramalkan Malaysia akan meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi acara trek.

AKHIR sekali, apa harapan Tuan Haji kepada barisan pelumba lebuh raya dan trek negara pada kejohanan kali ini?

KEPADA pelumba trek, saya doakan mereka akan terus berjaya menambahkan kutipan mata untuk berlumba di Sukan Olimpik 2012 yang akan diadakan di London, Britain. Saya percaya Azizulhasni, Josiah Ng, Rizal Tisin dan Edrus akan layak ke London berdasarkan merit. Kepada pasukan lebuh raya pula, cubalah sedaya upaya untuk menang.


Kosmo

No comments: