Tuesday, 7 September 2010

Dr. Jega orang penting anti-doping

JAWATANKUASA Kawalan Doping New Delhi 2010, akan diketuai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dr. M. Jegathe- san (gambar).

Beliau berjanji akan menjalankan pelbagai ujian anti-doping sepanjang Sukan Komanwel ke-19 yang akan berlangsung di New Delhi pada 3 hingga 14 Oktober.

Dr. Jegathesan berkata, suruhanjaya perubatan terdiri daripada sembilan anggota yang ditugaskan untuk menyelia aktiviti kawalan doping atau penggunaan bahan terlarang semasa sukan itu akan menjalankan 1,500 ujian kawalan doping, 250 ujian darah, 150 ujian EPO (ubat meningkatkan stamina) dan 150 ujian prapertandingan sepanjang sukan itu.

Katanya, pada Sukan Komanwel di Melbourne, Australia, empat tahun lepas, jawatankuasa perubatan menjalankan keseluruhan 1,100 ujian.

Beliau berkata, jumlah ujian akan meningkat pada masa depan ekoran peningkatan jumlah atlet.
Sementara itu, laman web rasmi Sukan Komanwel New Delhi memetik Timbalan Ketua Pengarah Jawatankuasa Penganjur bagi Doping, Dr. Munish Chander sebagai berkata, jangka masa bagi keputusan sampel air kencing ialah antara 24 hingga 48 jam.

"Untuk ujian darah akan mengambil masa sehari hingga lima hari dan bagi ujian EPO ialah 72 jam hingga enam hari," katanya.

Program anti-doping Delhi 2010 menggabungkan pencegahan, pengesanan dan pendidikan.
"Sampel akan dihantar dari venue ke Pusat Utama Kawalan Doping dan kemudiannya ke Makmal Ujian Doping Nasional (NDTL) setiap hari melalui dua penghantaran oleh staf kawalan doping dalam kenderaan khas yang diiringi pengawal keselamatan," katanya.

Dr. Munish berkata, Baha- gian Kawalan Doping telah melatih lebih 450 pegawai kawalan doping untuk Delhi 2010.

Pemilihan dan latihan pegawai berkenaan dijalankan mengikut standard antarabangsa yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Mereka dipilih daripada pelbagai bidang termasuk doktor, pakar perubatan sukan, ahli fisioterapi dan profesor pendidikan jasmani.

Stesen Kawalan Doping yang dilengkapi peralatan canggih akan ditempatkan di semua venue pertandingan.
Sebuah Pusat Kawalan Doping telah diwujudkan di Perkampungan Sukan manakala Pusat Utama terletak di Ibu Pejabat Sukan.

- Bernama

No comments: