Wednesday, 25 August 2010

Kategori B pengaruh mentaliti

KUALA LUMPUR - Selepas mempersoalkan mengenai hutang persatuan serta pembaziran apabila mengekalkan atlet kategori B, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad menyeru agar pandangannya supaya atlet kelas tersebut digugurkan, dapat diterima semua pihak.
Katanya, ia kerana amalan tersebut mempengaruhi mentaliti atlet negara.

Jelasnya, dahulu ketika Malaysia tidak galak menabur usaha buat setiap atlet negara, keputusan yang dicapai mereka jelas begitu membanggakan.
Bagaimanapun, setelah banyak usaha yang dilaburkan termasuklah terus memberi peluang kepada atlet kategori B, semuanya dilihat tidak menjadi, malah hanya segelintir sahaja yang benar-benar memacu perkembangan sukan negara.

Ujarnya, amalan mengkategorikan atlet harus dihentikan dengan hanya memberi peluang kepada atlet yang benar-benar cemerlang sahaja.
"Atlet kategori B terus dihantar bersama-sama menyertai kejuaraan dan itu sekali gus memberi kesan kepada mentaliti atlet lain.

"Mereka berfikir, tidak perlu memberi usaha bersungguh-sungguh kerana atlet yang tidak layak juga mampu untuk memberi cabaran buat negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.


Mengulas lanjut, Mazlan menjelaskan tindakan terus memberi peluang kepada atlet kategori B mengalakan berlakunya daya saing yang kurang kompetitif di kalangan para atlet negara dalam mana-mana kejohanan.
"Meskipun niatnya baik untuk memberi peluang kepada atlet kategori B, ini tidak sepatutnya berlaku kerana memberi pengaruh kurang negatif kepada atlet," ujarnya.

Menerusi ruangannya dalam Utusan Malaysia semalam, Mazlan memberi pandangan bahawa atlet kategori B ini tidak harus diberi tiket menyertai kontinjen negara, malah sepatutnya digugurkan terus daripada program.
Ditanya tentang mekanisme terbaik untuk memansuhkan amalan mengkategorikan atlet ini, Mazlan menyatakan, setiap yang terlibat termasuklah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta persatuan sukan bertegas dalam menangani pembaziran sumber itu.

"Kena bertegas, kalau tidak layak tidak boleh pergi langsung dan MOM sendiri patut menimbang sendiri sebelum menghantar penyertaan.

"Lebih baik juga jika persatuan sendiri mampu bertegas dan tidak menghantar atlet sebegini sekadar mahu mencukupkan penyertaan sahaja," jelasnya. - Utusan Malaysia

No comments: