Friday, 16 April 2010

MOM hanya belanja RM19,575.72 untuk bida


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menafikan membelanjakan beratus ribu ringgit untuk membuat bidaan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 2013 di Vancouver, Kanada Februari lalu.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi, berkata pihaknya membelanjakan tidak sampai RM20,000 bagi mendapatkan hak penganjuran persidangan itu yang dimenangi oleh bandaraya Buenos Aires, Argentina.



“Saya mendapat tahu terdapat pihak tertentu termasuk blogger yang mendakwa kita membelanjakan beratus ribu ringgit membuat bidaan itu sedangkan kita hanya membelanjakan RM19,575.72 saja.

“Selebihnya, kita mendapat bantuan pihak tertentu termasuk membuat klip video yang memaparkan sokongan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) bagi menguatkan bidaan kita,” katanya ditemui di pejabatnya, semalam.
Sieh berkata, perbelanjaan dikeluarkan itu sudah dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga MOM, Isnin lalu.

“Ia sudah disahkan dan tidak ada keraguan lagi mengenainya,” katanya.
Dalam undian diadakan pada Persidangan IOC ke-122 di Vancouver itu, bandar raya Kuala Lumpur tewas apabila hanya menerima 31 undi berbanding 58 yang diperoleh Buenos Aires daripada jumlah 92 ahli Majlis IOC yang hadir.

Kongres itu penting dan bakal menjadi perhatian dunia kerana akan menentukan tuan rumah Sukan Olimpik musim panas 2020 dan juga untuk melantik presiden baru IOC bagi menggantikan Jacques Rogge yang tamat tempohnya pada tahun 2013.

BHarian


No comments: