Thursday, 8 April 2010

Kok Chi sedia jadi 'orang tengah'




PERBALAHAN yang timbul antara Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dengan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim dilihat masih belum reda.

Segala-galanya bermula apabila Zolkples mendakwa Karim telah mengarahkan ketua jurulatih olahraga negara, Harun Rasheed dan beberapa wakil KOAM untuk tidak mengadakan pemeriksaan terhadap trek latihan di padang MSN di Bukit Jalil.

Sehari kemudian, Karim pula melahirkan rasa tidak puas hati terhadap dakwaan Zolkples bahawa beliau memboikot pemeriksaan trek latihan tersebut.

Karim mendakwa tuduhan yang dilontarkan Zolkples tidak benar kerana beliau tidak pernah melarang Harun dan beberapa pegawai KOAM daripada hadir mengikuti pemeriksaan trek yang bernilai RM2.3 juta itu.

Isnin lalu, Zolkples kembali membalas kenyataan Karim sambil menegaskan, beliau enggan melayan kerenah individu No. 2 KOAM itu yang dianggapnya membuang masa dan suka memberi alasan retorik semata-mata.
Melihatkan konflik itu semakin berpanjangan, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi (gambar) lantas bersuara.

"Sekiranya kedua-dua pihak berkenaan mahukan saya untuk menjadi orang tengah bagi membantu menyelesaikan konflik antara mereka, saya tidak ada sebarang masalah," jelas Kok Chi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Kok Chi, perbalahan yang wujud antara Zolkples dan Karim itu mungkin disebabkan berlakunya salah faham antara kedua-dua belah pihak.

"Jika mereka dapat mengambil inisiatif untuk duduk berbincang, saya rasa isu serta salah faham yang terjadi antara MSN dan KOAM pasti tidak timbul," tambahnya.


Kosmo

No comments: