Tuesday, 9 February 2010

Sokongan PM kuatkan bidaan kita untuk anjur Sukan Asia 2019

KUALA LUMPUR - Klip video sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara 'senjata" yang dibawa oleh rombongan Malaysia pada Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Vancouver, Kanada dalam usaha Kuala Lumpur untuk memenangi penganjuran Kongres IOC 2013 dan Sukan Asia 2019.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong, berkata rombongan Malaysia, yang diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, akan membentangkan bidaan semasa Sesi IOC ke-122 esok, sebelum 115 anggota badan dunia itu mengundi.

"Malaysia diberikan masa selama 20 minit untuk membuat bidaan bagi menganjurkan Kongres IOC di Kuala Lumpur pada 2013.

''Saingan Malaysia, turut membuat bidaan ialah bandar raya Buenos Aires (Argentina)," katanya di sini, semalam.




Selain Zolkples dan Ahmad Shabery, delegasi Malaysia yang ke Vancouver semalam, termasuk Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, Naib Presiden Low Beng Choo dan Setiausaha Kehormat, Datuk Sieh Kok Chi.

Zolkples berkata, Tunku Imran terlebih dahulu akan membuat bentangan mengenai pengenalan bidaan dengan mengetengahkan aspek venue serta kemampuan Malaysia, sebelum Ahmad Shabery membentangkan isu keselamatan, bajet dan sokongan kerajaan terhadap bidaan tersebut.

"Menteri akan mewakili pihak kerajaan dan ketika pembentangan itu, video klip sokongan daripada Perdana Menteri akan ditayangkan.

''Sokongan pihak kerajaan amat penting untuk meyakinkan anggota IOC mengenai kekuatan bidaan Kuala Lumpur," katanya, sambil menambah hasrat Kuala Lumpur itu direstui Kabinet.

Kongress IOC pada 2013 juga akan menentukan tuan rumah Sukan Olimpik musim panas 2020, selain melantik presiden baru IOC, bagi menggantikan Jacques Rogge yang tamat akan tempoh perkhidmatan pada tahun tersebut, katanya.

"Jika Malaysia berjaya menjadi tuan rumah Kongres tersebut, seluruh perhatian dunia tentunya tertumpu di Kuala Lumpur," kata beliau.

Beliau berkata, kejayaan memenangi bidaan untuk Kongress IOC pada 2013 itu juga akan menguatkan bidaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia pada 2019.

Malaysia hampir menjadi tuan rumah dua Sukan Asia iaitu pada 2006, yang menyaksikan negara tewas kepada Qatar, serta Sukan Asia 2010 yang akan diadakan di Guangzhou, China, selepas kerajaan menolak berikutan kos yang begitu besar.



Korea Selatan akan menjadi hos Sukan Asia 2014 di Incheon. - Bernama

No comments: