Wednesday, 23 December 2009

'Atasi pungutan emas 1998, 2006'



AHMAD Shabery (tiga dari kiri) pada majlis perasmian Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 di PWTC, semalam.

MSN rancang strategi untuk gegar Sukan Komanwel, Asia 2010

GHAIRAH kejayaan 'cukup makan' di Sukan Sea jelas masih belum reda. Kini, Majlis Sukan Negara (MSN) mensasarkan pencapaian terbaik di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

Malah, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong sudah melaungkan betapa kedua-dua temasya yang bakal berlangsung selang sebulan akan menjadi pentas mengatasi pencapaian 10 emas di Sukan Komanwel 1998 dan lapan emas di Sukan Asia, Doha.






Bagi memenuhi impian besar itu, MSN menyenaraikan 535 atlit dari 26 jenis sukan untuk menyertai Program Cabaran 2010 sebagai persediaan menyahut cabaran kedua-dua temasya berkenaan yang turut dijadikan batu loncatan ke Sukan Olimpik London 2012.

"Sasaran utama kita ialah Olimpik 2012 di mana 19 atlit berpotensi mendapatkan pingat sudah dikenal pasti.

"Jadi menerusi Program Cabaran 2010, Sukan Asia dan Komanwel akan menjadi medan terbaik buat atlit-atlit memperbaiki pencapaian mereka," katanya ketika membentangkan kertas kerja Sukan Prestasi Tinggi di Konvensyen Sukan Kebangsaan 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Dalam konvensyen tahun lalu, empat jenis sukan dipilih untuk program Road to London 2012 meliputi badminton, memanah, berbasikal dan akuatik (terjun) dan bagi Sukan Olimpik 2016 pula, tambahan empat acara sukan dimasukkan - menembak, hoki lelaki, pelayaran dan angkat berat.

Acara-acara berkenaan akan diberi keutamaan selain 26 acara yang tersenarai dalam Program Cabaran 2010. Namun, sukan-sukan lain masih menerima dana sehingga menunjukkan prestasi baik di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, Zolkples berkata, MSN turut memberi keutamaan kepada Sukan Paralimpik dalam program Road To London 2012 di mana lima acara sukan dikenal pasti membabitkan 57 atlit dari acara renang, olahraga, powerlifting, memanah dan pelayaran.

Sementara itu, Zolkples turut mendedahkan mengenai persetujuan mewujudkan kursus Pengurus Perkembangan Prestasi bagi setiap jenis sukan yang berfungsi memantau program kejurulatihan sukan di bawah bidang masing-masing.
"Untuk tujuan itu, kerjasama dengan Kanada bagi menggunakan modul kejurulatihan mereka sudah dipersetujui dan bagi fasa pertama, kursus yang memakan masa setahun akan diadakan," katanya.

No comments: