Friday, 4 September 2009

Kumpulan AmBank terus taja MOM


KUALA LUMPUR - Berpuas hati dengan kerjasama pertama yang telah dijalin dari 2006-2008, Kumpulan AmBank bersetuju meneruskan penajaan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Semalam, syarikat perbankan itu menandatangani penajaan baru yang bernilai RM140,000, iaitu RM35,000 setahun bagi tempoh empat tahun dari 2009-2012.

Perjanjian disempurnakan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim, manakala MOM diwakili oleh Presidennya, Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Bagi MOM, sumbangan pihak korporat sememangnya dialu-alukan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti sukan, terutama dalam mengisi Tabung Amanah Atlet yang kini sudah mencecah RM8 juta.

Sebagai pulangan, penajaan empat tahun ini membolehkan Kumpulan AmBank menjadi bank rasmi kepada kontinjen Malaysia pada temasya utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

Kumpulan AmBank juga akan memegang hak eksklusif menggunakan logo MOM pada setiap produk mereka, selain berpeluang menganjurkan lebih banyak aktiviti sukan dan mempromosikan Sukan Olimpik London 2012 serta Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2010.

"Dalam tempoh tiga tahun pertama penajaan dengan MOM, dari 2006 hingga 2008, Kumpulan AmBank amat aktif dalam menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh MOM, termasuk promosi Sukan Olimpik Beijing 2008.

"Sebagai penyokong kuat sukan tempatan, kami amat gembira kerana dapat menjalin kerjasama dengan MOM yang merupakan organisasi yang mengawal persatuan-persatuan sukan di negara ini.

"Penajaan ini adalah peluang terbaik baik untuk menonjolkan kehadiran Kumpulan AmBank dalam komuniti sukan, selain dapat memberi sumbangan positif kepada sukan secara umum,'' ujar Azman.

Malah kata Azman lagi, Kumpulan AmBank sememangnya penyokong utama sukan tanah air dengan penglibatannya dalam pembangunan golf menerusi penganjuran Grand Final sirkit golf remaja SportExcel.

Syarikat perbankan itu juga aktif menganjurkan kejohanan futsal antara institusi kewangan, selain menyumbang kepada persatuan Jawatankuasa Bola Tampar Asia Oceania bagi sukan paralimpik.

Sementara itu Tunku Imran berkata, sokongan yang diterima menerusi penajaan seperti yang disumbangkan Kumpulan AmBank dapat membantu badan Olimpik itu mengukuhkan kedudukan kewangannya.

"Saya ingin berterima kasih kepada Kumpulan AmBank kerana percaya kepada kredibiliti MOM dengan menyambung penajaan, selain penglibatan aktif mereka dalam pembangunan golf menerusi penganjuran Sirkit Remaja Akhir SportExcel,'' kata Tunku Imran.

No comments: