Monday, 13 July 2009

Pelari Kenya Ungguli Larian Hari Olimpik Mcdonald's


JUARA kategori terbuka lelaki, Kannedy Kiproo (kiri) dan juara terbuka wanita, Dorean Kitaka bersama pingat yang mereka menangi selepas menguasai Larian Hari Olimpik McDonald's
di Dataran Merdeka semalam.


KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Warga Kenya sentiasa mendominasi pertandingan maraton di negara ini dengan menyapu bersih tempat teratas pada setiap kejohanan dan hari ini mereka "menakluk" pula Larian Hari Olimpik McDonald's kali keenam di sini.

Dalam saingan sejauh tujuh kilometer yang berlangsung di Dataran Merdeka itu, kedudukan lima tempat teratas bagi kategori terbuka lelaki dan terbuka wanita dikuasai oleh peserta dari negara Afrika itu.

Tempat pertama bagi kategori lelaki disandang oleh Kannedy Kiprod dengan catatan masa 22 minit 25 saat, tempat kedua Sila Senatei (22:30s) dan tempat ketiga (22:40s).

Bagi tempat pertama acara wanita terbuka pula disandang oleh Dorean Kitaka (27:24s) diikuti Paris Chepkech Pagaro (27:43s) dan Cekilia Warutumo (27:52s).

Semua pemenang menerima wang tunai, pingat, sijil penyertaan, hadiah eksklusif dan hamper daripada McDonald's.

Pada Jun lepas pelari dari Kenya, Julius Kilimo Kipkorir membawa pulang wang tunai AS$20,000 (RM70,694) setelah menjuarai kejohanan sulung Standard Chartered KL Marathon 2009.

-- BERNAMA

No comments: