Wednesday, 15 July 2009

MOM tuntut ganti rugi daripada Kementerian Pelajaran




KUALA LUMPUR - 'Perselisihan' antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Pelajaran memasuki fasa makin serius gara-gara penarikan diri kontinjen negara ke Sukan Remaja Asia di Singapura baru-baru ini.

Semalam mesyuarat Lembaga Pengarah MOM mengambil keputusan untuk menuntut ganti rugi daripada Kementerian Pelajaran berikutan tindakan itu yang dikaitkan dengan wabak selesema babi (H1N1).

Malah, MOM merasakan pandangan mereka diketepikan begitu sahaja sedangkan pihaknya sudah pun mengeluarkan perbelanjaan RM206,000 sebagai pendahuluan yang dibayar kepada penganjur temasya.

Wang tersebut digunakan untuk menanggung kos penginapan, pengangkutan dan makan pegawai dan atlet remaja negara.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar ketika dihubungi mengesahkan Singapura enggan membayar balik wang tersebut walaupun dituntut pihaknya baru-baru ini.

"MOM tiada pilihan selain terpaksa menuntut ganti rugi itu daripada Kementerian Pelajaran kerana mereka yang membuat keputusan menarik diri di saat akhir.

"Kami kesal dengan apa yang berlaku kerana MOM yang sanggup keluar duit tetapi Kementerian Pelajaran membuat keputusan tanpa mengambil kira perasaan dan pandangan kami.

"Kita berharap Kementerian Pelajaran dapat membayar balik wang pendahuluan tersebut," kata Tunku Imran.

Apa yang pelik, tindak tanduk Kementerian Pelajaran sesuatu yang tidak boleh diterima langsung oleh MOM atas alasan:-

* Tiada satu pun negara yang menarik diri kecuali Malaysia - alasan yang digunakan Singapura untuk tidak memulangkan wang pendahuluan itu.
* Kementerian Pelajaran bertindak sendirian dalam soal penarikan diri di saat akhir tanpa mengadakan perbincangan dengan MOM.
* Pelayar dan skuad bola sepak sudah pun berada di sana tetapi tidak pula diarah pulang dengan segera sekiranya benar-benar bimbang dengan wabak H1N1.
* Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr. M. Jegathesan yang merupakan ketua unit perubatan Majlis Olimpik Asia (OCA) yang turut berada di Singapura langsung tidak dirujuk Kementerian Pelajaran.
* Tindakan terburu-buru itu menjejaskan semangat atlet remaja negara yang sudah pun berkumpul di Bukit Jalil dan menunggu masa sahaja untuk pergi.
* Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara sendiri sudah pun memberi lampu hijau di samping memberi jaminan tentang keselamatan atlet.
* Singapura adalah negara yang mempunyai kesedaran yang cukup tinggi tentang kesihatan dan telah mengambil langkah sewajarnya untuk membendung penularan wabak H1N1. - UTUSAN MALAYSIA

No comments: