Thursday, 16 July 2009

Kementerian Pelajaran sedia jumpa MOM bincang tuntutan ganti rugi


Oleh LIAU PEI WEN
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengadakan perjumpaan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung isu tuntutan ganti rugi MOM terhadap kementerian itu berikutan penarikan diri kontinjen negara ke Sukan Remaja Asia di Singapura, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan berbincang dengan MOM mengenai perkara tersebut termasuk memberi penjelasan kepada mereka tentang situasi sebenar yang berlaku.

"Tuntutan ganti rugi itu cuma laporan yang dibuat oleh media, kita akan mengambil tindakan susulan daripada pihak MOM. Mungkin ada salah faham tentang apa yang berlaku, kita boleh atasi masalah ini.

"Saya juga hendak meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bersama-sama memberi penjelasan kepada MOM dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kecergasan di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini, semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan MOM memutuskan untuk menuntut ganti rugi daripada Kementerian Pelajaran berikutan penarikan diri kontinjen negara ke Sukan Remaja Asia di Singapura baru-baru ini yang dikaitkan dengan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Malah, MOM merasakan pandangan mereka diketepikan begitu sahaja sedangkan pihaknya sudah pun mengeluarkan perbelanjaan RM206,000 sebagai pendahuluan yang dibayar kepada penganjur temasya.

Wang tersebut digunakan untuk menanggung kos penginapan, pengangkutan dan makan pegawai dan atlet remaja negara.

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar ketika dihubungi, kelmarin mengesahkan Singapura enggan membayar balik wang tersebut walaupun dituntut pihaknya baru-baru ini.

Menurut beliau, MOM tiada pilihan selain terpaksa menuntut ganti rugi itu daripada Kementerian Pelajaran kerana mereka yang membuat keputusan menarik diri di saat akhir.

Sementara itu, Ka Siong berkata, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa 3K mengenai H1N1 yang turut dianggotai wakil Kementerian Kesihatan, KBS serta MSN untuk mengkaji penglibatan pelajar dalam kejohanan sukan di luar negara baru-baru ini.

"Ia sebaliknya dibuat demi kebaikan para pelajar kerana kami mahu melindungi kesihatan mereka supaya tidak dijangkiti H1N1," katanya.

Ujar beliau, sesebuah badan sukan perlu membuat rayuan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mereka terpaksa menyertai sesuatu kejohanan sukan di luar negara.

"Mereka boleh mendapat pengecualian untuk dibenarkan menyertai kejohanan di luar negara secara pertimbangan khas oleh Muhyiddin dan ia mesti diperakui MSN," katanya.

No comments: