Thursday, 16 July 2009

Batal Penyertaan Kejohanan Ke Luar Negara Bukan Tindakan Boikot


KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran untuk membatalkan penyertaan atlet kebangsaan pada kejohanan sukan di luar negara bukan bermaksud untuk memboikot.


Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata langkah kementerian itu dibuat untuk kebaikan pelajar bagi melindungi mereka daripada penularan wabak Influenza A(H1N1).

"Kita telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menangani penularan virus ini jadi kita terpanggil untuk melindungi pelajar kita.

"Ada kumpulan pelajar ke Thailand untuk menyertai satu kejohanan dan apabila pulang ke tanah air, mereka dijangkiti virus tersebut.

"Jadi kalau kerajaan tidak mengambil langkah yang sewajarnya bagi membendung penularan virus itu maka keadaan akan menjadi kelam kabut, langkah kerajaan ini tidak harus dilihat sebagai tindakan memboikot," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Kecergasan Kementerian Pelajaran Malaysia di Sekolah Sukan Malaysia, Bukit Jalil di sini pada hari Rabu.

Wee berkata kementerian juga telah membatalkan penyertaan negara pada Kejohanan Sekolah Asean pada pertengahan Julai ini berikutan situasi di Bangkok yang tidak selamat daripada wabak tersebut.

"Jika kita menghantar pelajar menyertai kejohanan itu dan jika mereka dijangkiti virus tersebut, nanti akan timbul pelbagai persepsi dan bermacam-macam komen oleh masyarakat berikutan tindakan yang kita ambil.

"Perkara ini sangat penting yang kita telah bincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya.

Wee bagaimanapun berkata jika ada kejohanan yang terpaksa disertai, maka pihak terlibat perlu membuat rayuan kepada Kementerian Pelajaran dengan mendapat perakuan daripada MSN," katanya.

Wee turut ditanya mengenai keputusan mesyuarat Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia untuk menuntut ganti rugi daripada Kementerian Pelajaran berhubung penarikan diri kontinjen negara ke Sukan Remaja Asia di Singapura baru-baru ini yang dikaitkan dengan wabak influenza A(H1N1).

"Kita akan berbincang dan membuat susulan dengan MOM berhubung perkara ini. Saya minta jawatankuasa 3K (kebersihan, kesihatan, keselamatan) mengenai H1N1 iaitu KBS dan MSN untuk bersama-sama memaklumkan kepada MOM mengenai isu itu," katanya.

--BERNAMA

No comments: