Tuesday, 7 July 2009

Biasiswa jurulatih ke Australia

Oleh Harris Rajahdin dan Hasnira Hassan
bhsukan@bharian.com.my


DR RAMLAN (kiri), Smith (dua dari kanan) dan Tunku Imran bersama skuad pelapis lumba basikal negara di Kuala Lumpur, semalam.

Jalin kerjasama bidang sukan yang akan dijalankan di AIS, Canberra

JURULATIH tempatan berpeluang untuk melihat secara dekat program pembangunan sukan Australia yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia menerusi program biasiswa khas yang ditawarkan negara itu, hasil kerjasama dua hala dengan Malaysia.

Menteri Luar Australia, Stephen Smith yang mengumumkan cadangan itu sebagai usaha memperluaskan jalinan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang sukan, dengan menawarkan Institut Sukan Australia (AIS), Canberra, sebagai lokasi kursus berkenaan.

Bagaimanapun, program itu yang memberi hanya `satu tempat’ itu akan dilaksanakan selepas perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara ditandatangani menjelang lawatan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ke Australia, Disember ini.

“Memorandum persefahaman ini mengiktiraf secara formal kerjasama berpanjangan antara kedua-dua pihak. Memorandum persefahaman ini akan ditandatangani oleh Menteri Belia dan Sukan yang dijadualkan melawat Australia pada akhir tahun ini.

“Kami mahu membawa hubungan ini ke peringkat tertinggi dan tidak sabar untuk menjalinkan kerjasama erat, untuk melihat Malaysia memenangi emas pertama mereka pada Olimpik London 2012,” katanya yang turut memberi sepenuh peluang kepada Malaysia untuk memilih calon terbaik.

Beliau berkata demikian pada pertemuan khas bersama wakil persatuan sukan tempatan di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi Australia, Penny Williams, semalam.

Hadir sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

“Kami perlu menunggu sehingga MoU ini dimeterai. Lagipun, pasti banyak perkara perlu dibincangkan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM bagi mengenal pasti calon yang sesuai.

“Penganugerahan biasiswa ini bergantung kepada jenis sukan dan syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan,” kata Dr Ramlan.

No comments: