Friday, 5 June 2009

Terjun antara sasaran pingat remaja Asia


Oleh Harris Rajahdin

SUKAN Remaja Asia yang julung kali diadakan di Singapura pada 29 Jun hingga 7 Julai ini bakal memberikan gambaran awal saingan yang bakal dihadapi pada edisi pertama Sukan Olimpik Remaja yang juga akan dilangsungkan di republik itu tahun depan.

Sungguh pun tidak meletakkan sebarang sasaran, kontinjen Malaysia yang diketuai Chef de Mission, Marina Chin dilihat mampu membawa pulang pingat daripada sukan seperti terjun, menembak, bowling dan renang.

“Daripada acara terjun, Malaysia meletakkan harapan kepada Pandelela Rinong dengan Kevin Lim, Eric Chang, Cheng Karmen, Lai Wei Li dan Hii Siew Siew mampu meraih pingat dalam renang.

“Bagi acara menembak, Muhammad Zubair Mohammad diletakkan harapan untuk membawa pulang pingat,” kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar pada majlis penyerahan tajaan kasut sukan Bata kepada kontinjen negara di Wisma MOM semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi dan Marina yang juga Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Walaupun tidak menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Remaja tahun depan, MOM mahu atlit memberikan persembahan terbaik di Kejohanan Remaja Asia sebagai persiapan sekiranya layak ke Sukan Olimpik Remaja.

Malaysia akan menghantar 79 atlit (48 lelaki dan 31 wanita) serta 35 pegawai untuk bersaing dalam acara terjun, renang, olahraga, bola keranjang tiga lawan tiga, bola tampar pantai, bowling, bola sepak, kapal layar, menembak dan ping pong.

Had kelayakan bagi atlit adalah 14-17 tahun, bergantung kepada peraturan yang ditetapkan sukan masing-masing.

BERITA HARIAN

No comments: