Tuesday, 2 June 2009

Sasaran kata: MOM jelas tidak mahu orang politik


Oleh Norbakti Alias

Kumpulan Tunku Imran harus balas kepercayaan dengan rancangan untungkan ahli gabungan

SEGALANYA sudah terbukti, barisan kepimpinan yang diterajui Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar 'menang besar' dalam pemilihan jawatankuasa baru Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Sabtu lalu.

Biarpun ramai yang meramalkan adanya saingan sengit, khususnya dua jawatan tertinggi - presiden dan timbalan presiden - apabila bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, masing-masing mahu menentang penyandang Tunku Imran dan Datuk Dr M Jegathesan, segalanya nampak kurang menjadi sehari sebelum pemilihan.

Penarikan diri Shahidan - kali kedua berturut-turut - untuk membiarkan Ibrahim berseorangan, sudah cukup menceritakan tugas berat yang menanti bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu yang akhirnya terpaksa berputih mata tanpa sebarang jawatan selepas memilih menyaingi Dr Jegathesan daripada mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden MOM.

"Pemilihan ini cukup jelas, perwakilan menolak orang politik. Bagi kami, mereka tidak relevan dan badan induk ini boleh bergerak tanpa retorik politik. Kita perlu tindakan," kata seorang perwakilan.

Kemenangan besar dicapai kumpulan Tunku Imran harus memberi mereka rangsangan untuk terus memajukan MOM agar menjadi badan sukan yang dihormati selain memastikan ahli gabungan mereka bebas daripada masalah yang mampu menjejaskan sukan negara.

Bagi penulis, kepercayaan diberi kepada kumpulan Tunku Imran harus dibalas dengan rancangan yang mampu menguntungkan semua ahli gabungan, khususnya dalam meningkatkan sukan tempatan yang masih agak suram kecuali dua tiga sukan sahaja.

Pada masa sama, elok juga ada perancangan jangka panjang untuk membimbing pegawai sukan muda mengambil alih tugas di masa depan agar MOM terus di terajui oleh mereka yang benar-benar berkemampuan.

Bukannya apa, setakat ini penulis tidak nampak ada pegawai sukan muda yang berkaliber, yang berani menyuarakan pendapat serta tegas dalam keputusannya. MOM tidak memerlukan pegawai yang sekadar menjadi burung belatuk yang mengangguk setiap kali disogokkan dengan hujah yang belum tentu ada baiknya.

Hampir setiap kali pemilihan, perkara dibangkitkan adalah kehadiran pegawai sukan veteran yang terus menerajui MOM seperti setiausaha kehormat, Datuk Sieh Kok Chi, Prof M Y Chin - kedua-duanya sudah melebihi usia 70 tahun . Namun, persoalannya siapakah 'orang baru' yang mahu ditonjolkan?

Bagi penulis, 'orang baru' yang mahu mengisi jawatan penting di MOM perlu membuktikan kemampuan diri di persatuan sukan kebangsaan kerana kerusi di MOM bukan tempat membuat 'uji kaji' atau pentas menonjolkan diri.

Tidak guna hanya menyatakan orang baru tidak akan mendapat tempat membuktikan kemampuan jika orang lama enggan berundur. Buktikan kemampuan di peringkat bawah terlebih dahulu.

Inilah kelebihan tokoh veteran seperti ini yang bukan sahaja berpengalaman tetapi juga mudah didekati media dan sanggup melayan panggilan telefon walaupun pada tengah malam.

Malangnya, ada 'orang baru' ini yang bukan sahaja cukup sukar ditemui dan apabila berjaya dihubungi, enggan pula diwawancara tetapi tergamak pula menuduh media berat sebelah dalam laporan mereka. Ini belum lagi memegang tugas penting, kalau sudah pegang, takut nanti sukar pula didekati ahli gabungan sendiri.

Sebab itu, penulis amat berharap, orang lama seperti Kok Chi dan Chin mahu menurunkan ilmu mereka kepada pegawai sukan muda agar ada kesinambungan dalam tugasan mereka. Pokoknya, pegawai boleh silih berganti tapi apa yang penting adalah MOM itu sendiri.

l Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong sudah selamat menjalani pembedahan pintasan jantung pada tengah malam, Sabtu lalu dan pastinya beliau kini memerlukan rehat panjang antara dua dan tiga bulan sebelum dapat menyambung tugasnya semula.

Demi melancarkan tugas di MSN, penulis percaya salah seorang daripada pengarah bahagian akan dilantik memangku tugas Zolkples, apa lagi majlis itu tidak mempunyai jawatan timbalan pengarah dan Zolkples sendiri tidak pernah menamakan siapa orang nombor dua di majlis itu.

Ketika ini, ada dua pengarah yang dianggap paling kanan iaitu Ahmad Shapawi Ismail (Bahagian Persediaan Atlit) dan Jalil Abdullah (Pengurusan Acara). Namun, Ahmad Shapawi kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang pengurusan sukan di Glouchester, England, menjadikan Jalil, pegawai paling kanan.

Namun, penulis difahamkan Ahmad Shapawi bercadang membuat tesisnya mengenai sukan di Malaysia dan akan pulang sekitar Ogos ini - berita yang boleh dianggap baik khususnya dalam persiapan negara menghadapi Sukan Sea Laos yang sehingga kini tidak nampak pergerakannya.

Buat sementara ini, penulis berasa Jalil mungkin menjadi pilihan memangku tugas Zolkples tetapi tidak akan terperanjat andai ada kejutan berlaku seperti Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz diberikan tanggungjawab itu apa lagi institut itu secara teknikalnya masih bersama MSN.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad juga boleh dipertimbangkan untuk memegang tugas itu, sama seperti Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, buat sementara andai kementerian merasakan tidak pegawai MSN yang layak ketika ini.

Apapun, penulis berharap apabila Zolkples kembali bertugas nanti, perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya agar masalah sama tidak berulang.

BERITA HARIAN

No comments: