Monday, 1 June 2009

Perwakilan mahu perubahan


Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

Tapi Imran kata tidak perlu ubah apa sedang dilaksanakan

TIADA wajah baru dalam pucuk kepimpinan yang dipilih, semalam, bukan bermakna Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak mampu menerima 'angin perubahan' untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.

Ketegasan itu dinyatakan presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar yang menyifatkan bahawa perwakilan Mesyuarat Agung MOM lebih mahukan perubahan dilakukan ‘secara dalaman.’

“Mesej yang dihantar perwakilan ialah perubahan perlu dilakukan daripada dalam. Kami sedar perlunya untuk berubah, tetapi bukan bermakna perlu mengubah apa yang sedang dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Pucuk pimpinan MOM yang sama ‘dikembalikan’ apabila Tunku Imran dan Datuk Dr M Jegathesan mengekalkan dua jawatan tertinggi badan induk berkenaan.

Datuk Seri Shahidan Kassim menarik diri daripada mencabar Tunku Imran ketika Jegathesan menewaskan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad dengan majoriti selesa.

Antara agenda utama mahu direalitikan kepimpinan baru itu pengwujudan saluran televisyen khas untuk sukan tempatan yang akan memberi ruang pendedahan lebih meluas kepada semua persatuan sukan kebangsaan.

“Ketika ini, liputan sukan antarabangsa mendapat liputan meluas dengan jumlah terhad untuk sukan tempatan. Dengan adanya saluran itu, persatuan sukan kebangsaan akan ada peluang untuk menyiarkan kejohanan anjuran mereka.

“Menerusi cara ini, mereka akan mampu mendapat lebih lagi daripada penaja selain membantu usaha membangunkan sukan di negara ini,” kata Tunku Imran.

Jegathesan pula berkata sistem rating juga akan dimantapkan dan menurutnya ia bukan bermaksud menghukum, tetapi mendidik persatuan sukan supaya tahu cara meningkatkan lagi operasi mereka.

BERITA HARIAN

No comments: