Friday, 5 June 2009

Gesa periksa pusat sukan


PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar (gambar) melahirkan rasa terkejut dengan kejadian bumbung stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Terengganu runtuh pada 2 Jun lalu dan mahu semua kemudahan sukan diperiksa secara menyeluruh.

Tunku Imran menggesa semua kerajaan negeri melakukan pemeriksaan yang teliti dan meminta nasihat pihak berkuasa persekutuan sebelum membina sebarang kemudahan sukan yang baru.

“Bagi saya ini amat mengejutkan apabila perkara seperti itu berlaku di Malaysia. Baru setahun stadium itu dibina dan ia adalah satu projek besar,” katanya selepas mengumumkan perjanjian penaja untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Remaja Asia di Singapura akhir bulan ini.

“Semua kemudahan sukan adalah pemangkin kepada pembangunan sukan di negara ini dan saya harap perkara seumpama itu tidak berlaku. Ini satu pengajaran kepada kita,” katanya.

Beliau berkata kejadian itu menunjukkan terdapat masalah komunikasi antara kerajaan negeri dan pakar pihak berkuasa persekutuan termasuk Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, ketua kontinjen Sukan Remaja Asia, Marina Chin Abdullah berharap atlit Malaysia akan memberikan persembahan terbaik, tetapi beliau tidak mahu menetapkan sasaran pingat untuk kejohanan itu.

No comments: