Monday, 11 May 2009

Shahidan persoal Tabung Amanah MOM

Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my

Sepatutnya kalau ada duit, ia perlu dibelanjakan untuk manfaat sukan

TABUNG Amanah yang diwujudkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mencetus persoalan terhadap fungsi sebenar badan induk sukan itu ketika tuntutan mendesak kini adalah bagi membantu persatuan sukan di negara ini.

Persoalan berkenaan disuarakan Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga presiden kepada empat persatuan sukan kebangsaan sambil menegaskan, MOM kini menjadi terlalu birokratik sehingga sukar untuk persatuan kecil mendapatkan bantuan.

"Saya sebenarnya minta MOM supaya tolong jaga persatuan. Tolong tengok sama dari segi pembangunan. Bantu supaya sukan menjadi budaya hidup kerana bagi saya, sukan sebenarnya adalah kehidupan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat pembangunan sukan petanque kebangsaan di ibu negara semalam.

Shahidan berkata, isu tabung amanah yang diwujudkan MOM mencetuskan persoalan ketika banyak persatuan sukan mengharapkan bantuan kewangan daripada badan induk itu untuk menjalankan aktiviti serta melahirkan atlit.

"Saya dengar mereka tubuhkan tabung amanah. Sepatutnya kalau ada duit, ia patut dibelanjakan untuk manfaat sukan. Kita pun tak tahu macam mana," katanya yang mendapat dua pencalonan untuk merebut jawatan Presiden MOM pada pemilihan hujung, bulan ini.

Malah, kritikan khusus turut ditujukan Shahidan terhadap Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi apabila beliau berkata, tokoh itu kini menjadi terlalu birokratik sehinggakan persatuan sukan kecil sukar mendapat perhatiannya.

"Memang dia seorang tokoh yang berpengalaman dan sudah lama. Tetapi saya harap dia janganlah terlalu birokratik sangat," katanya yang menjadi Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persekutuan Petanque Malaysia dan Persatuan Kabbadi Malaysia.

Shahidan sebelum ini berkata, beliau sedia untuk tampil merebut jawatan tampuk MOM daripada penyandang jawatan, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja'afar, andai menerima banyak pencalonan daripada persatuan sukan kebangsaan.

BERITA HARIAN

No comments: