Monday, 11 May 2009

Sani sedia tanding




BEKAS Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk A. Sani Karim (gambar) bersedia bertanding mana- mana jawatan tertinggi dalam MOM jika menerima pencalonan.

Menurutnya, beliau akan membuat pertimbangan sewajarnya jika menerima pencalonan daripada persatuan sukan kebangsaan untuk bertanding.

"Saya akan membuat pertimbangan sewajarnya jika mendapat pencalonan.

"Saya tidak akan memohon untuk bertanding tetapi jika ada permintaan saya akan timbang semula," katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengenai namanya yang dikaitkan bakal bertanding jawatan naib presiden MOM pada perhimpunan agung tahunan badan tersebut 30 Mei ini.

A. Sani pernah menyandang jawatan naib presiden MOM pada 11 Jun 2005 hingga 26 Mei 2007.

Bagi sesi pemilihan 2007-2009, presiden Persatuan Skuasy Skuasy Malaysia (SRAM) itu tidak mempertahankan jawatan naib presiden MOM meskipun mendapat pencalonan 14 persatuan sukan kebangsaan.

Menurutnya, alasan yang diberikan untuk tidak bertanding ketika itu ialah kerana komitmen peribadi serta kesibukan tugas sebagai ahli perniagaan.

"Saya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh persatuan sukan kebangsaan ketika itu yang masih mencalonkan saya. Bagaimanapun, kerana masalah tidak dapat dielakkan saya terpaksa menolak.

"Buat masa ini, semua masalah sudah selesai dan saya bersedia memberi komitmen sepenuhnya jika (khidmat) diperlukan sekali lagi," katanya.

Baru-baru, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mencalonkan presiden mereka, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mencabar Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar untuk bertanding jawatan presiden MOM.

Jawatan setiausaha kehormat MOM yang kini disandang Datuk Sieh Kok Chi juga bakal menyaksikan pertandingan apabila Naib Presiden MOM, Low Beng Choo dikatakan akan bertanding.

Lima kerusi naib presiden juga bakal menjadi rebutan pada pemili- han kali ini.

KOSMO

No comments: