Wednesday, 13 May 2009

Shahidan belum terima sebarang pencalonan

KUALA LUMPUR - (UTUSAN MALAYSIA) Setakat kelmarin, belum ada pencalonan diterima Majlis Olimpik Malaysia (MOM) termasuk membabitkan pencabar untuk jawatan presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, pihaknya juga tidak dapat memastikan sama ada benar Shahidan mahu mencabar penyandang sekarang, Tunku Imran Tuanku Jaafar.

"Saya tak tahu lagi sama ada beliau (Shahidan) mahu mencabar Tunku Imran. Mungkin masih terlalu awal kerana pencalonan baru dibuka beberapa hari lalu.

"Lagi pun tarikh tutup pencalonan adalah pada 20 Mei ini," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang terakhir sebelum berlangsungnya Mesyuarat Agung Pemilihan MOM hujung bulan ini.

Shahidan yang merupakan presiden bagi tiga persatuan iaitu olahraga, renang dan kabadi telah menyatakan hasrat untuk mencabar Tunku Imran sebelum ini.

Malah Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) secara terbuka bersetuju untuk mencalonkan Shahidan bagi merebut jawatan itu.

Sementara itu, pada mesyuarat yang sama, MOM turut membincangkan tentang penganjuran satu persidangan sukan di Kuala Lumpur pada November ini.

Persidangan yang akan membincangkan isu-isu penting sukan itu akan mengundang tokoh-tokoh sukan terkenal dari seluruh dunia.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: